KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Najib mempersoalkan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung proses pengampunan dan pengurangan hukuman yang perlu dibuat menerusi Lembaga Pengampunan untuk bapanya, Datuk Seri Najib Razak yang dikeluarkan semalam.
Anak kedua Datuk Seri Najib Razak itu berasa pelik kerana mengapa surat itu tidak dikeluarkan lebih awal iaitu sembilan bulan lalu.
“Kena surat (Jabatan Peguam Negara) hendak keluar hari ini (semalam)? Kalau betul arahan Peguam Negara kata macam itu, kenapa tidak keluar sembilan bulan lalu?
“Kenapa kena hendak ada perhimpunan 6 Januari ini, tiba-tiba keluar surat.
“Tuan-tuan lihatlah apa agenda sebenarnya kerajaan tengah buat, berapa lama lagi hendak buat ketidakadilan kepada Datuk Seri Najib? Ini kalau drama Korea siri dia akan berulang-ulang, tidak akan habis.
“Saya percaya keluar esok hari, bukan sahaja kita yang akan gembira tetapi keyakinan kita dengan kerajaan, masa depan dengan parti-parti politik kita akan bertambah lebih baik sebab kita percaya orang seperti Datuk Seri Najib akan bantu rakyat Malaysia,” katanya pada program Demi Najib 2.0 di sini malam ini.
Hari ini, Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan menyatakan bahawa Najib perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.
Jabatan itu memaklumkan, keputusan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong itu akan dibuat berdasarkan tatacara dan saluran yang sudah ditetapkan mengikut undang-undang dan Perlembagaan, bukannya mana-mana saluran lain.
Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari depan bagi pendengaran rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar kewujudan titah addendum.
Jabatan Peguam Negara berkata, tarikh itu juga untuk Najib mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah adendum itu.
Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Najib sedang merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan titah addendum tersebut.
Mahkamah memutuskan empat afidavit bagi menyokong permohonannya, termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.
Najib memohon perintah mandamus bagi memaksa sama ada semua atau satu daripada responden menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan itu yang bertarikh 29 Januari 2024.
Ia dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah. – MalaysiaGazette