Lokman Noor Adam Foto WAN NABIL NASIR, 03 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Titah Yang di-Pertuan Agong Ke-17 kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) seperti mana menerusi kenyataan media jabatan itu semalam tidak seharusnya dilihat sebagai halangan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan keadilan dengan menghabiskan baki hukuman sebagai tahanan di rumah.

Sebaliknya, Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, titah itu ‘berkemungkinan besar’ dapat memberi ruang bukan sahaja kebenaran tahanan di rumah, tetapi pembebasan sepenuhnya (pengampunan penuh) kepada Najib.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakan seperjuangan khususnya mereka yang memperjuangkan keadilan buat Najib supaya tidak berlebihan atau umpama ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’.

Ujarnya, pertikaian, rasa tidak puas hati atau marah itu akan mencipta ‘konfrontasi’ (secara langsung dan tidak langsung) terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Sudah pasti ‘konfontasi’ ini akan memberikan gambaran negatif terhadap imej Dato’ Seri Najib dan segala usaha beliau untuk mendapatkan keadilan.

“Paling penting, situasi ini juga akan terpalit kepada imej parti yang selama ini memperjuang dan sentiasa membela Institusi Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga parti,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook beliau, hari ini.

Tambah Lokman, penyokong Najib tidak boleh berputus asa dengan apa jua keputusan yang bakal diterima atau diumumkan pada 6 Januari depan.

Jelasnya, ruang keadilan buat Najib masih terbuka luas dan sekiranya Lembaga Pengampunan menjadi sebagai satu-satunya sandaran, maka saluran itu akan digunakan dengan sebaik mungkin.

“Yakinlah dengan perancangan Allah SWT. Perancangan-Nya adalah sebaik-baik perancangan.

“Mungkin permohonan pertimbangan kali kedua melalui Lembaga Pengampunan nanti akan memberi kebebasan sepenuhnya kepada Dato’ Seri Najib Razak, bukan sekadar tahanan dirumah.

“Yang penting kita sebagai rakyat harus tahu bahawa bab pengampunan ini kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong. Rayulah budi bicara, simpati dan jasa baik Baginda dengan penuh hikmah,” katanya.

Tambah Lokman, penyokong Najib juga dinasihatkan tidak sesekali mendesak dan lupa bahawa soal pengampunan adalah 100 peratus hak Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskannya.

“Semoga tiada lagi insiden terlanjur kata yang boleh membuat baginda murka, In Sya Allah,” katanya.

Menerusi kenyataan media semalam, Jabatan Peguam Negara menyatakan Najib perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.

Jabatan itu memaklumkan, keputusan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong itu akan dibuat berdasarkan tatacara dan saluran yang sudah ditetapkan mengikut undang-undang dan Perlembagaan, bukannya mana-mana saluran lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here