KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengingatkan titah adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjadi isu panas yang boleh membakar perpaduan Kerajaan Madani.
Malah, menurut beliau, Pas kini dengan cepat menangguk di air keruh untuk mendapat laba politik berkait isu itu dengan menggerakkan usaha menganjurkan perhimpunan besar di depan Istana Kehakiman, Putrajaya pada 6 Januari depan.
Katanya, berdasarkan rekod Pas mempunyai keupayaan untuk menggemblengkan ahli-ahli dan penyokongnya untuk menyertai perhimpunan-perhimpunan besar sebelum ini.
Selain itu, tambah beliau, pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga telah menyatakan secara terbuka parti itu tiada halangan jika ahli-ahlinya mahu turun ke jalan raya pada 6 Januari depan.
Dalam masa sama, ujarnya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi juga mengalu-alukan sokongan Pas dan parti-parti lain berhubung isu pengampunan terhadap Najib tersebut.
“Perhimpunan 6 Januari 2025 di Putrajaya jika menjadi kenyataan ia sudah pasti akan menggugat perpaduan Kerajaan Madani pimpinan Dato’ Sri Anwar Ibrahim.
“Pemimpin Kerajaan Madani sekarang cukup faham kesan politik terhadap siri-siri perhimpunan raksa oleh rakyat jelata.
“Contohnya perhimpunan Bersih 1 hingga Bersih 5 telah menjatuhkan kerajaan Naib Razak dan UMNO/ Barisan Nasional yang telah memerintah Malaysia selama 60 tahun sejak Merdeka.
“Begitu juga tentu sekali Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih ingat lagi bagaimana Kerajaan Pakatan Harapan 1.0 pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad digoncang hebat dengan perhimpunan besar membantah isu ICERD dan Statut Rome anjuran bersama Pas dan UMNO sehingga akhirnya kerajaan PH tersebut tumbang selepas jadi kerajaan hanya 22 bulan sahaja,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Tambah Hassan, barangkali menyedari perkara itu dan bagi mengelak ketegangan sekiranya Pas, Bersatu dan UMNO bergabung tenaga dan suara pada 6 Januari depan, maka Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan berkenaan permohonan pengampunan semalam.
Jelasnya, berdasarkan kenyataan AGC itu, apa pun yang berlaku di Mahkamah Rayuan pada 6 Januari depan, kedudukan kes pengampunan terhadap Najib tidak menempuh jalan gelap berpanjangan, sebaliknya mungkin ada sinar di hujung terowong.
“Kenyataan media Jabatan Peguam Negara ini memberi isyarat awal bahawa permohonan pengampunan Najib Razak masih boleh dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong sekarang, Sultan Ibrahim.
“Sama-samalah kita lihat perkembangan terbaru ini. Adakah Najib berpeluang seperti kata perumpamaan dalam bahasa Inggeris, “second bite of the cherry”?
“Tetapi perlu dinyatakan dari segi kedaulatan undang-undang bahawa ” second bite of the cherry” adalah satu contoh salah guna proses undang-undang. Jika itu berlaku, adakah ia satu tatakelola pentadbiran kerajaan yang baik?” katanya. – MalaysiaGazette