KUALA LUMPUR – Akibat tidak menarik brek tangan dengan sempurna, sebuah lori membawa batu tanpa pemandunya mengundur hingga melanggar tiang dan pagar sebuah premis di Bangsar semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL), Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian itu berlaku pukul 4.20 petang semalam di Jalan Bukit Pantai berhadapan bangunan Syarikat Air Selangor.
“Siasatan awal mendapati pemandu lori merupakan warga tempatan berusia 64 tahun telah meninggalkan sebentar kenderaanya itu dalam keadaan enjinnya masih hidup.
“Pemandu lori itu dikatakan mahu bertanya kepada pengawal keselamatan di pondok pengawal TNB di mana tempat untuknya memindahkan batu.
“Tiba-tiba lori itu mengundur secara sendirinya lalu terlanggar tiang dan pagar Syarikat Air Selangor yang berada di seberang laluan menyebabkan tiang penahan pagar itu kemek dan rosak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Zamzuri, insiden itu tiada membabitkan kenderaan lain dan pemandu lori juga tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes ini telah diklasifikasikan di bawah Peraturan 14(1)(a), LN 166/59 dan siasatan lanjut berkaitan kes masih dijalankan.
“Semua pemandu dinasihati supaya memeriksa dengan teliti kenderaan anda sebelum meninggalkan kenderaan supaya kemalangan seperti ini tidak berlaku lagi,” jelasnya.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Balai Polis Trafik di talian 03 – 2026 0267/69 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana- mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette