UNITED KINGDOM – Magnus Carlsen, pemain catur nombor satu dunia membuat keputusan mengejut dengan menarik diri daripada Kejohanan Catur Dunia Rapid dan Blitz selepas diberitahu bahawa beliau tidak boleh memakai seluar jeans.
Ia berlaku ketika Carlsen dalam usaha mempertahankan gelarannya di New York dan pegawai kejohanan memaklumkan bahawa pakaian Carlsen melanggar kod etika pakaian yang ditetapkan menyebabkan beliau diminta untuk menukar seluar jeansnya.
Namun, pemain berusia 34 tahun itu enggan mematuhi arahan tersebut dan memilih untuk meninggalkan pertandingan.
Badan pengelola, Persatuan Catur Antarabangsa (FIDE) mengenakan denda sebanyak $AS200 (kira-kira RM930) ke atasnya.
Carlsen menjelaskan, insiden itu bermula kerana beliau tergesa-gesa selepas menghadiri mesyuarat makan tengah hari sebelum pusingan bermula.
“Saya sempat menukar baju, memakai jaket, dan tukar kasut, namun jujurnya, saya langsung tidak terfikir tentang jeans,” kata Carlsen.
Beliau turut menyatakan bahawa pihak penganjur memberi amaran untuk tidak melibatkannya dalam pusingan seterus jika tidak menukar pakaian.
“Saya beritahu mereka saya akan tukar esok tetapi mereka tetap mahu saya tukar sekarang. Pada ketika itu, ia menjadi soal prinsip bagi saya.
“Saya terlalu tua untuk terlalu peduli dan kalau ini yang mereka mahu, saya terima sahaja,” ujarnya.
Carlsen, yang pernah menyandang gelaran juara dunia dari 2013 hingga 2023 menegaskan beliau tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.
Keputusan beliau ini mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat catur mengenai sejauh mana kod pakaian harus dikuatkuasakan dalam kejohanan. – Agensi