KUALA LUMPUR – Persembahan tradisional dan budaya orang Melayu antara tarikan baharu untuk menarik kunjungan pelancong tempatan dan asing sepanjang tiga hari penganjuran Citrawarna Kampung Bharu menjelang 125 tahun bermula 27 hingga 31 Disember ini.
Pengarah Urusan Omni Holdings Sdn Bhd, Omar Abbas berkata, pameran sejarah berbentuk info grafik dan koleksi gambar lama penubuhan Kampung Bharu sejak 1900-an dipertontonkan kepada pelancong bersebelahan Pintasan Saloma.
“Kita cuba wujudkan lebih banyak tarikan pelancongan di Kampung Bharu. Kita ada beratus pelancong yang datang ke Pintasan Saloma setiap hari khususnya hujung minggu.
“Kita nak cuba inisiatif untuk bawa mereka turun jelajah Kampung Bharu.
“Pelancong boleh mengenali budaya Melayu, kita nak promosikan budaya orang Melayu seiring dengan konsep Kampung Bharu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Selaku penganjur bersama Citrawarna Kampung Bharu, Omar tidak mahu melepaskan peluang dengan kehadiran para pelancongan ke ibu negara dengan menyediakan pelbagai aktiviti di sepanjang 67 meter Pintasan Saloma.
“Sebab ini sudah kira kita sudah ada pasaran sedia ada, pelancong sudah ada depan pintu kita cuma macam mana kita nak ambil kesempatan dengan apa yang kita ada dekat sini.
“Kita cuba kekalkan imej orang Melayu di Kampung Bharu.
“Itu sahaja kita ada, Kampung Bharu satu-satu kampung orang Melayu yang tinggal di Kuala Lumpur,” katanya lagi. – MalaysiaGazette