Warren 'Red' Upton

BERLIN – Individu tertua yang terselamat serangan Jepun ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Pearl Harbour semasa Perang Dunia Kedua meninggal dunia pada usia 105 tahun.

Menurut kenyataan Pacific Historic Parks, Warren ‘Red’ Upton yang merupakan bekas operator radio menghembuskan nafas terakhir di hospital ketika menerima rawatan, dikelilingi ahli keluarganya.

“Upton adalah anggota terakhir yang terselamat daripada kru kapal perang USS Utah, yang terkena dua torpedo dalam serangan mengejut pada 7 Disember 1941.

“Kapal tersebut karam, namun Upton bersama beberapa kru berjaya berenang menyelamatkan diri dalam serangan yang meragut nyawa 58 kru kapal USS Utah,” katanya dalam satu kenyataan.

Serangan Pearl Harbour yang dilancarkan oleh tentera udara laut Jepun menyasarkan Armada Pasifik AS yang berlabuh di pangkalan tentera laut tersebut di selatan Honolulu, Hawaii.

Serangan itu menyebabkan Amerika Syarikat yang sebelum ini bersikap berkecuali, mengisytiharkan perang terhadap Jepun pada hari berikutnya dan menyaksikan sebanyak 2,335 anggota tentera AS dan 68 orang awam terkorban.

Menurut akhbar tentera AS, Stars and Stripes, kini hanya 15 individu yang diketahui masih hidup daripada tragedi bersejarah itu.

Selepas perang berakhir, Upton kembali ke tanah airnya dan memulakan kehidupan berkeluarga dan isterinya, Gene, meninggal dunia pada 2018.

Kehilangan Upton menandakan berakhirnya kisah hidup seorang saksi terakhir kepada satu tragedi besar dalam sejarah dunia dan ia mengakhiri legasi hidup anggota kru USS Utah, sekaligus menjadi peringatan penting terhadap peristiwa Pearl Harbour yang mengubah haluan sejarah dunia. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here