NEW DELHI – Seorang lelaki di India menemui ajal selepas mencuba rawatan alternatif yang dipercayai dapat menyelesaikan masalah kesuburannya.
Anand Yadav, 35, dari perkampungan Chhindkalo, Ambikapur di negeri Chhattisgarh dilaporkan menelan anak ayam hidup sebagai ‘ubat mujarab’.
Malangnya, anak ayam tersebut tersekat di saluran pernafasan Yadav menyebabkannya sesak nafas sehingga membawa kepada kematian.
Hasil bedah siasat hospital mendedahkan anak ayam sepanjang 20 sentimeter tersangkut di saluran pernafasan dan saluran makanan mangsa.
Dr. Santu Bag yang melakukan bedah siasat berkata, anak ayam masih hidup ketika ditemui dalam saluran mangsa sebelum mati beberapa minit kemudian.
“Sepanjang kerjaya saya melaksanakan lebih 15,000 bedah siasat, ini kali pertama saya menemui kes sebegini. Ia sangat luar biasa,” kata Dr. Bag kepada agensi.
Penduduk kampung percaya Yadav mendapatkan rawatan daripada seorang pengamal perubatan tradisional selepas mangsa bertahun-tahun berkahwin tanpa dikurniakan anak.
Kejadian itu mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan penduduk kampung yang percaya amalan itu berkait rapat dengan kepercayaan karut yang mempercayai menelan anak ayam hidup boleh meningkatkan kesuburan. – Agensi