MELAKA – Persatuan Sosialis Wanita Negeri Melaka (MeSWA) mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku Hannah Yeoh berjudul Becoming Hannah: A Personal Journey yang disifatkan mengancam keselamatan negara.
Pengerusinya, Roseniza Muamad berkata, buku Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh itu juga mengaitkannya dengan Gerakan Evangelis Zionis dan Yahudi yang kononnya mahu menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.
“Sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam, saya berasa terancam atas pengakuan dan tindakan Hannah yang jelas telah melanggar kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
“Menteri berkenaan juga telah melanggar peruntukan dalam Perkara 3 Perlembagaan Negara iaitu Islam adalah agama Persekutuan,” katanya.
Beliau yang juga Penyelaras Srikandi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Negeri Melaka berkata demikian dalam kenyataannya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh hari ini.
Hadir sama Ketua Srikandi Masjid Tanah, Norihan Bahari, Ketua Srikandi Tangga Batu, Bae’yah Ibrahim, Ketua Srikandi Kota Melaka, Siti Hajar Abd Karim dan Naib Ketua Srikandi Hang Tuah Jaya, Salasiah Mat Tarmizi.
Mengulas lanjut, Roseniza berkata, pihaknya memohon satu siasatan yang menyeluruh serta satu tindakan tegas dapat dilaksanakan polis dan KDN termasuk mengharamkan buku tersebut dipasaran.
“Kami juga memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memecat Ahli Parlimen Segambut itu daripada Kabinet kerana beliau telah melanggar prinsip tatakelola kerajaan Islam Madani.
“Beliau juga telah menyalahgunakan kedudukanya sebagai ahli politik dan pemimpin kerajaan dengan melaksanakan agenda Kristianisasi,” tegasnya.
Isnin lalu, Hannah yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP kalah dalam kes saman terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berhubung kenyataan pada satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM), empat tahun lalu.
Menerusi saman difailkan pada 3 Julai 2020, beliau mendakwa Musa memberi ucapan pada forum ‘Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?’ dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai diri beliau dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya.
Kenyataan dipertikaikan itu didakwa menuduh Hannah menulis buku bertajuk Becoming Hannah: A Personal Journey untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan negara, serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara. – MalaysiaGazette