Muhammad Hadif Arsyad disahkan menghidap penyakit jantung sejak dilahirkan.

GEORGE TOWN – Seorang kanak-kanak lelaki memerlukan sumbangan orang ramai berjumlah RM95,000 untuk menjalani pembedahan jantung dengan kadar segera.

Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Muhammad Hadif Arsyad Mohd Hafiz Arif, 4, dari Sungai Petani, Kedah merupakan penghidap penyakit jantung kongenital kompleks yang dikesan sejak lahir.

Katanya, Muhammad Hadif Arsyad disahkan mengalami masalah double outlet right ventricle (DORV), mitral atresia, left ventricular hypoplasia, transposition of great arteries (TGA) dan pulmonari stenosis (PS) setelah doktor mendapati badannya kebiruan sejurus dilahirkan.

“Dia telah menjalani pembedahan jantung pada 2021, namun prosedur itu untuk kesan sementara waktu.

“Pemeriksaan terkini pada hujung September lalu mendapati dia mengalami tekanan pulmonari yang tinggi dan keadaan itu dikawal dengan mengambil ubat darah tinggi.

“Bagaimanapun, dia yang merupakan kanak-kanak aktif tersebut perlu menjalani pembedahan segera demi menyelamatkan nyawanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, pasangan peniaga warung makanan itu tidak mampu membiayai kos rawatan anak mereka sebelum tampil memohon bantuan.

“Bapanya, Mohd Hafiz Arif Azihar, 34, dan ibu, Nadiah Anati Zainol, 30, mengusahakan warung makanan Melayu di tepi jalan sejak dua tahun lalu dengan pendapatan bulanan sekitar RM2,500.

“Pasangan itu juga membesarkan dua lagi anak lelaki berusia lapan bulan dan lapan tahun.

“Susulan itu, kita berbesar hati meluluskan permohonan kepada keluarga kanak-kanak tersebut bagi membantu mengumpul dana sebanyak RM95,000 dan tarikh Pembedahan telah ditetapkan pada esok,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3193433435) atau layari onehopecharity.org.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, sila hubungi talian hotline, 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192, 018-911 4192. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here