BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akan menjalani pembedahan membuang prostat hari ini selepas disahkan menghidap jangkitan saluran air kencing.
Pejabat Perdana Menteri mengesahkan perkara ini dalam satu kenyataan rasmi.
“Netanyahu menjalani ujian di Hospital Hadassah pada Rabu lalu dan didiagnosis dengan jangkitan saluran air kencing yang disebabkan oleh pembesaran prostat yang tidak berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut pejabat itu, ini bukan kali pertama Netanyahu menjalani prosedur perubatan besar.
“Pada Mac lalu, beliau menjalani pembedahan hernia dan pada Julai tahun sebelumnya, doktor memasang alat ‘pacemaker’ selepas insiden kesihatan yang mencetuskan kebimbangan,” ujarnya.
Pembedahan ini berlaku beberapa jam selepas tentera Israel mengumumkan serbuan ke atas salah satu hospital yang masih berfungsi di utara Gaza dan menahan pengarah hospital tersebut.
Perang yang sudah hampir 15 bulan antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas di Gaza bermula selepas serangan pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menahan lebih 250 lagi.
Selain isu kesihatan, Netanyahu juga sedang menghadapi perbicaraan berhubung tuduhan rasuah.
Baru-baru ini, peguam negara Israel mengarahkan polis untuk membuka siasatan terhadap isteri Netanyahu kerana disyaki mengganggu musuh politik dan saksi dalam perbicaraan rasuah tersebut. – Agensi