JOHOR BAHRU – Seorang pemandu bas persiaran mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan melakukan khianat terhadap kereta seorang wanita warga Taiwan, minggu lalu.
Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman denda RM6,000 selepas Mohd Nazri Elias, 38, membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Hidayatul Syuhada turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara setahun, jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja melakukan khianat dengan cara memecahkan cermin sisi dan mencalarkan kereta jenis Peugeot berwarna kelabu sehingga menyebabkan kerugian RM5,000 terhadap mangsa.
Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di KM0.3 Jalan Pantai menuju ke Permas Jaya, di sini, pukul 9.05 malam, pada 20 Disember lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Norfarahin Mohd Yazid dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memberitahu, lelaki itu sudah berkahwin, namun tidak mempunyai anak.
Katanya, isteri tertuduh tidak bekerja, manakala tertuduh hanya bekerja sambilan sebagai pemandu bas dengan pendapatan RM50 sehari.
Timbalan Pendakwa Raya, R Nevina memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kerugian yang dialami mangsa.
Berdasarkan fakta kes, mangsa telah membuat laporan polis selepas mendakwa ketika dia memandu kereta dari pusat beli-belah Mid Valley menuju ke Taman Permas Jaya di sini, hendak menukar ke laluan tengah sebelum sebuah bas di belakangnya membunyikan hon yang panjang.
Pengadu telah menekan brek dan memberhentikan kereta di lorong kanan sebelum bas bertindak menghalang laluan.
Seorang lelaki iaitu tertuduh turun dari bas dan datang ke pintu depan kereta pengadu dan cuba membukanya sebelum memukul cermin kereta dan tendang pintu depan kereta beberapa kali serta tertuduh naik ke atas bonet kereta pengadu dan pecahkan cermin besar kereta.
Tertuduh kemudian ditahan polis pada pukul 5 petang, 23 Disember lalu di Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.- MalaysiaGazette