Dr. Shawn Loh Sheng Nian

KUALA LUMPUR – Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Negeri Melaka, Dr Shawn Loh Sheng Nian mencadangkan agar pensijilan halal diwajibkan bagi semua perniagaan makanan dan minuman (F&B) di Kelantan namun dengan pendekatan yang lebih inklusif.

Menurutnya, langkah itu perlu disarankan kepada perniagaan yang mempunyai 70 peratus atau lebih pelanggan beragama Islam, bukannya mewajibkan semua perniagaan untuk memohon sijil halal.

Namun tindakan segelintir yang cuba ‘menangguk di air keruh’ mengundang kekecewaan Dr Shaw.

Beliau mengecam tindakan segelintir pemimpin yang menghasilkan video mengelirukan dan menyebarkannya di media sosial dengan niat menjejaskan keharmonian kaum.

“Sepatutnya pemimpin sebegitu seharusnya memainkan peranan penting dalam memastikan keseimbangan antara pelbagai kaum bukan mengeruhkan keadaan.

“Di Kelantan, isu sijil halal tidak menjadi masalah besar kepada masyarakat bukan Islam. Kehidupan harmoni dalam masyarakat berbilang kaum masih dapat diterima dan dihormati.

“Malah majoriti kedai di negeri ini dimiliki oleh usahawan Islam, manakala sebahagian kecil dimiliki oleh bukan Islam,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sebagai sebuah negara yang memiliki pelbagai kumpulan etnik dan bangsa serta agama berlainan sepatutnya keadilan dan keharmonian adalah nilai yang perlu dikongsi bersama bukan sentiasa cuba buat ‘drama’ demi kepentingan politik.

“Kami berharap pemimpin politik peringkat kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dapat memperjuangkan hak rakyat secara aktif, memastikan dasar yang adil kepada semua kumpulan etnik, serta mempromosikan pembangunan negara dalam jangka panjang.

“Pada masa sama, pemimpin setiap kaum perlu bekerjasama untuk memperkenalkan dasar yang lebih inklusif, agar setiap rakyat mendapat peluang dan penghormatan yang sama,” katanya lagi.

Shawn mengulas kerajaan Kelantan baru-baru ini mewajibkan pensijilan halal dalam kalangan pengusaha FB di negeri itu, bermula dengan daerah Kota Bharu sebelum melaksanakannya bagi seluruh negeri.

Difahamkan sebanyak 453 sijil halal telah dikeluarkan kepada pelbagai perniagaan di Kelantan, termasuk restoran, hotel, farmasi dan kedai rambut. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kelantan wajibkan restoran ada sijil Halal: Cadangan perlu diteliti

Dasar pensijilan halal mandatori di Kelantan perlu dikaji semula – RA Lingeshwaran

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here