Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli diingatkan memberi fokus kepada tugas diamanahkan kepada dirinya, berbanding terus bermain polemik politik dalam isu pengampunan Diraja “bosnya”, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, Adam Adli diingatkan tidak hanya pandai menyuruh pihak lain berhati-hati dalam soal pengampunan Diraja sedangkan amanah beliau sendiri diabaikan.

“Kenyataan Adam Adli yang mempertahankan pengampunan Diraja sememangnya selari dengan undang-undang, tetapi apa yang dipertikaikan oleh rakyat adalah integriti proses tersebut.

“Jangan jadikan institusi Raja sebagai perisai untuk melindungi kepentingan politik peribadi.

“Jika benar proses pengampunan itu telus, maka jawab sahaja hujah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh dengan fakta bukannya menyuruh orang lain diam.

“Ingat, rakyat berhak bertanya kerana ini melibatkan isu kepercayaan terhadap pemimpin negara,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menggesa Dr Akmal menarik semula kenyataannya didakwa memperlekehkan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Adam Adli berkata, tidak wajar Dr Akmal mempertikaikan kuasa pengampunan YDPA dan jika tidak ditarik balik boleh mencalarkan pandangan umum terhadap keluhuran institusi Diraja.

Sebelum ini, Dr Akmal menerusi akaun Facebook miliknya mempersoalkan pengampunan Diraja yang diperolehi Perdana Menteri Ke-10 itu dan sejauh mana proses itu dibawa kepada Lembaga Pengampunan.

Fariz yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Subang juga menyifatkan tindakan Adam Adli itu tidak lebih daripada cubaan menutup kelemahan diri.

“Pengampunan Diraja adalah satu proses yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tidak pernah menjadi isu politik semata-mata.

“Namun, isu sebenar yang perlu dijawab oleh Adam Adli ialah di manakah pelaksanaan janji-janji yang pernah beliau perjuangkan sebelum ini?

“Dahulunya Adam Adli lantang berteriak tentang pendidikan percuma, penghapusan hutang PTPTN dan hak anak muda, kini seolah-olah kehilangan taring setelah diberi jawatan Timbalan Menteri.

“Beliau begitu garang di jalanan, berarak dengan idealisme perjuangan, tetapi kini hanya tinggal bayangan lama. Di manakah tindakan konkrit untuk menyelesaikan isu-isu anak muda yang pernah menjadi agenda utamanya?” soalnya.

Selain itu, kata Fariz, sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, tugas Adam Adli adalah untuk membawa solusi dan bukannya mencipta konflik.

“Janji untuk memberikan pendidikan percuma, perumahan mampu milik dan peluang pekerjaan untuk belia masih belum dilaksanakan.

“Jadi, sebelum meminta orang lain menarik balik kenyataan, sepatutnya Adam Adli sendiri perlu melakukan muhasabah diri.

“Di manakah hasil kerja yang boleh dibanggakan oleh rakyat? Jangan hanya sibuk menyerang pihak lain sedangkan prestasi sendiri masih belum memuaskan,” katanya.

Katanya lagi, kenyataan Adam Adli yang cuba memutar belit isu pengampunan Diraja hanya menunjukkan kelemahan pentadbiran beliau secara keseluruhan.

“Rakyat tidak mahu lagi mendengar alasan dan retorik. Yang rakyat perlukan adalah tindakan dan hasil,” katanya.

Menurut Fariz, sekiranya Adam Adli tidak mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin belia, mungkin sudah tiba masanya beliau mengambil langkah ke belakang dan memberi peluang kepada individu lain yang lebih kompeten.

“Saya mendesak agar Adam Adli berhenti berselindung di sebalik nama institusi dan mula menunjukkan keberanian seperti dahulu, bukan sekadar beretorik tanpa hasil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here