KOREA SELATAN – Pesawat Jeju Air penerbangan 2216 yang terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan didakwa mungkin berpunca daripada sekumpulan burung yang melanggar pesawat tersebut selain faktor kegagalan elektrik.
Pakar penerbangan dari Airline Ratings, Geoffrey Thomas berkata, burung mungkin hanya salah satu punca nahas kerana pesawat itu juga mengalami kegagalan elektrik yang mengakibatkan ia berhenti menghantar data lokasi kepada menara kawalan selepas mengisytiharkan kecemasan.
“Juruterbang nampaknya menghadapi kegagalan sistem yang berterusan dan data ADS-B terputus menyebabkan gear pendaratan tidak digunakan serta sayap tidak dilaraskan untuk pendaratan.
“Punca sebenar kejadian dijangka mengambil masa berbulan untuk dikenal pasti,” kata Thomas kepada agensi.
Hasil siasatan dari rakaman menunjukkan pesawat jenis Boeing 737-800 itu mendarat tanpa menggunakan gear pendaratan menyebabkan ia terseret di landasan sebelum melanggar dinding konkrit dan terbakar.
Hanya dua daripada 181 penumpang terselamat dan Kementerian Pengangkutan Korea Selatan bersama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Amerika Syarikat (AS) sedang menyiasat tragedi ini.
“Langkah itu perlu kerana pesawat yang terlibat adalah buatan Amerika Syarikat dan pihak berkuasa turut mempertimbangkan pemeriksaan khas ke atas semua pesawat Boeing 737-800 di negara itu,” ujarnya.
Pakar penerbangan Doug Drury mempersoalkan beberapa perkara termasuk tindakan juruterbang yang dikatakan tidak memperlahankan pesawat dan memilih arah pendaratan yang salah.
Beliau juga menyatakan Lapangan Terbang Muan sepatutnya dilengkapi sistem penghalau burung seperti pembesar suara atau laser untuk mengelakkan risiko seperti ini.
Siasatan awal turut mendapati cadangan pemasangan sistem penghalau burung di Lapangan Terbang Muan telah ditangguhkan akibat kerja-kerja peluasan landasan.
Dalam pada itu, Korea Selatan telah mengisytiharkan tujuh hari berkabung nasional dengan bendera dikibarkan separuh tiang. – Agensi