Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi.

KUALA LUMPUR – Tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh yang didakwa cuba mengheret isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak dalam serangannya terhadap kerajaan dan Perdana Menteri terus dikritik.

Pengarah Strategi Keadilan Selangor, Saifuddin Shafi menganggap pandangan Dr Akmal sebagai dangkal dan bermotif politik.

Baginya pemimpin muda UMNO itu seperti ‘ada tangga tapi memanjat tiang’ iaitu melakukan sesuatu tanpa mengikut aturan.

Kata Saifuddin, kenyataan Exco Melaka itu juga jelas menunjukkan pemahaman mendalam terhadap proses serta kuasa pengampunan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sangat cetek atau berbaur ‘agenda peribadi’ meraih publisiti semata-mata. 

Beliau juga menyatakan serangan Dr. Akmal terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lebih daripada usaha untuk mencetuskan perbalahan walaupun kebijaksanaan pimpinan kerajaan perpaduan berjaya meredakan keadaan.

“Perdana Menteri adalah pemimpin untuk semua rakyat dan terikat kepada Perlembagaan. Bukannya bersikap pilih kasih atau bertindak mengikut tafsiran sendiri. Peranan beliau adalah untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi-institusi negara.

“Cubaan heret pengampunan 2018, Dr Akmal ini hanya cetus perbalahan bukan bantu bela nasib Najib,” katanya dalam kenyataan.

Saifuddin turut mempersoalkan keikhlasan Dr Akmal dalam memperjuangkan pembebasan Najib, memandangkan beliau tidak lantang bersuara ketika hukuman penjara dijatuhkan pada zaman pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seorang Perdana Menteri daripada UMNO.

“Kenapa tidak bising sejak 2022, semasa hukuman dijatuhkan? Tindakan sekarang ini jelas hanya untuk meraih perhatian politik murahan,” tegasnya.

Dalam masa yang sama, Saifuddin menyindir pendekatan Dr Akmal yang lebih sibuk menyerang daripada menjalankan tugasnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Exco Kerajaan Negeri Melaka dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

“Sebagai Ketua Pemuda, beliau sepatutnya memberikan idea-idea segar untuk kestabilan perpaduan bukan menjadi perosak dan memberi bola tanggung kepada pihak lawan. Apa yang dilakukan beliau ini hanya memualkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here