Logo Polis Diraja Malaysia

KUALA LUMPUR – Padah meragut seorang pelancong wanita warga Rusia –  dua lelaki tempatan berjaya ditahan polis pada 19 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, kedua-dua suspek berusia 29 dan 30 tahun itu ditangkap di tempat parkir motosikal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong di Jalan Silang.

Katanya, tangkapan dilakukan oleh oleh pasukan dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

“Penahanan dilakukan susulan kes ragut melibatkan mangsa berusia lingkungan 50-an dalam perjalanan ke Transit Aliran Massa (MRT) Ampang Park untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Disember lalu.

“Ketika kejadian, mangsa yang membawa beg telah diragut dua suspek lelaki menaiki motosikal dan akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian hingga RM8,000.

“Hasil soal siasat dijalankan mendapati, kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu dan mengaku membahagikan hasil samun untuk menjelaskan hutang serta menukar wang tunai di dua buah pusat beli-belah di Gombak dan Cheras,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Mohamad Lazim, turut dirampas sebuah motosikal dan kunci, dompet berjenama Polo, beg sandang; topi keledar; dua keping resit pertukaran mata wang bernilai Dollar Amerika Syarikat (USD) 1,500 (RM6,630) serta Rupiah Indonesia 10.26 juta (RM2,854.78), dua telefon bimbit dan pelbagai pakaian berjenama.

“Semakan mendapati suspek pertama mempunyai 33 rekod jenayah dan baru keluar dari Penjara Kajang pada 31 Julai lalu manakala suspek kedua pula tujuh rekod lampau.

“Suspek juga mengaku telah membuang beg milik pengadu di Sungai Keroh tepi jalan Undang Kepai, Segambut selain turut terlibat dengan tiga lagi kes di Kuala Lumpur,” jelasnya.

Mohamad Lazim juga memaklumkan, sebanyak tiga kertas siasatan telah dibuka membabitkan dua di bawah IPD Wangsa Maju manakala satu lagi berkaitan kes Ibu Pejabat Polis Daerah  Dang Wangi.

“Kedua-dua suspek akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur berkaitan kes ragut dan pihak polis juga merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat sehingga tertangkapnya suspek,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai perbuatan jenayah yang berlaku boleh menyalurkan maklumat ke Pusat Kawalan IPD Wangsa Maju di talian 03-928 99222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-211 59999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast