Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Gelombang hitam bakal ‘menguasai’ Anjung Senja, Teluk Likas di sini sempena perhimpunan aman Bangkit Sabahan anjuran Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), petang esok.

Penasihat perhimpunan aman itu, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, seramai 30,000 peserta berbaju hitam dan berlengan merah atau lilitan kepala akan diturunkan, melibatkan kira-kira 100 persatuan dari seluruh Sabah.

Katanya, ia bagi menghalang “kemaraan” pereka grafik satira, Fahmi Reza serta 40 mahasiswa daripada meneruskan perhimpunan haram Gempur Rasuah Sabah untuk “menawan” Menara Kinabalu, kira-kira jam 2 petang, esok.

“Kita harap di pihak Bangkit Sabahan, kita tak ikut mereka (konfrontasi dengan polis), sebab itu mereka import Fahmi Redza datang ke sini, dia ini datang lebih awal 22 Disember lalu untuk melatih budak-budak ini (mahasiswa).

“Hanya 40 orang sahaja mahasiswa, yang lain hingga 80 individu dari Semporna, tanpa dokumen, semua itu orang-orang Warisan, bukan mahasiwa pun, mereka ini semua orang luar termasuk dari Sandakan.

“Kita terpaksa tampil sebab takut berlaku huru-hara, kalau anak-anak muda ini turun, mereka tak boleh kawal perasaan, kami akan tunjukkan jalan berhemah, jangan ikut emosi dan nafsu kamu,” katanya pada sidang media, di Kota Kinabalu, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan polis menolak penganjuran perhimpunan Gempur Rasuah Sabah yang dijadual diadakan di hadapan Menara Kinabalu di sini esok, bagi menjaga ketenteraman awam di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, Kerajaan Negeri Sabah bakal menganjurkan program Karnival Ria di tempat serta hari sama esok dan program itu telah mendapat kebenaran penganjuran daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Jauteh berkata, polis tidak mahu berlaku pertembungan antara dua program ini yang boleh menimbulkan suasana tidak tenteram dan tidak aman terutama kepada pengunjung Karnival Ria antaranya wanita, kanak-kanak dan warga emas.

Menurut Zulkarnain, pemilihan lokasi Anjung Senja, Teluk Likas berbanding Menara Kinabalu yang dijadualkan sebelum ini bagi mengelakkan pertembungan dengan kumpulan pro Fahmi Reza, jam 2 petang esok.

“Kita minta peserta yang hadir tolong kawal emosi, kita faham mereka berada dalam keadaan yang sangat panas hati terhadap Fahmi Reza.

“Kita raikan perhimpunan aman, negara ini bebas bersuara jadi jangan buat provokasi walaupun kita dapat maklumat akan buat provokasi dan kita harap peserta Bangkit Sabahan ini jangan ikut mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here