KUALA LUMPUR – Geng Awey dan Geng Alep yang aktif dalam kegiatan mencuri motosikal di Lembah Klang tumpas apabila tujuh individu ditahan hasil risikan menerusi Op Lejang.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, operasi pertama pihaknya berjaya menahan lima suspek dari Geng Awey berusia antara 31 hingga 43 tahun dalam serbuan di sekitar Lembah Klang pada 6 Disember lalu.
“Hasil soal siasat kesemua suspek mengaku terlibat dalam 21 kes curi kenderaan di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, IPD Sentul dan IPD Cheras. Mereka bergiat aktif sejak 2016 yang membabitkan nilai kerugian sebanyak RM139,600,” katanya pada sidang media hari ini.
Pihaknya juga berjaya merampas sembilan telefon bimbit, dua rangka motosikal dan motosikal selain menemui barang kes yang dibuang ke dalam sungai dengan bantuan bomba.
Tambah Mohamad Lazim, operasi kedua pula berjaya menahan dua lelaki berusia 17 dan 20 tahun yang dikenali sebagai Geng Alep pada 17 Disember lalu ddi tepi jalan AU 5D/7, Lembah Keramat.
“Geng ini aktif mencuri motosikal di sekitar Wangsa Maju, Sentul, dan Cheras yang mana soal siasat membawa kepada rampasan sebuah motosikal Yamaha 135 LC bersama spanar dan alat pemutar skru.
“Empat kertas siasatan dibuka iaitu dua disiasat IPD Wangsa Maju, satu IPD Sentul dan satu lagi IPD Cheras di mana kita berjaya menyelesaikan 20 kes kecurian motosikal di daerah ini dengan nilai kerugian RM128,000,” jelasnya.
Mengulas lanjut, katanya, modus operandi kedua-dua geng terbabit adalah mencuri motosikal yang berkunci dengan merosakkan pemegang motosikal sebelum menunda kenderaan itu ke bengkel haram untuk dileraikan dan dijual komponennya.
“Mereka turut menggunakan media sosial bagi menjual komponen itu dengan anggaran RM300 ke RM700 dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” ujarnya. – MalaysiaGazette