KUALA LUMPUR – Seorang wanita berusia 63 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menolong menyembunyikan wang tunai berjumlah RM170,000 dalam akaunnya pada Mac lalu.
Jariton Sa’adiah Buhari didakwa membantu mengalihkan wang tunai milik seorang wanita ke dalam akaun Maybank miliknya di antara 14 Februari dan 8 Mac lalu di sebuah premis di Happy Garden di sini.
Ibu empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Atiqa Nazihah Azmi menawarkan jaminan RM20,000 dengan syarat jaminan tambahan agar melapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali serta pasport diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah kerana dia tidak bekerja dan akan dijamin oleh anaknya.
Hakim Mohd. Kafli Che Ali memerintahkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan selain menetapkan 5 Februari tahun depan untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette