KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menawarkan khidmat pengurusan jenazah secara percuma untuk golongan asnaf, individu tidak berkemampuan, jenazah yang tidak dituntut atau tiada waris serta saudara baharu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, keutamaan diberi kepada penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Labuan.
Menurutnya, JAWI melaksanakan tanggungjawab fardhu kifayah tanpa mengira latar belakang atau umur, sama ada jenazah berwaris, tidak berwaris, mualaf atau kategori lain.
“Inisiatif ini menonjolkan peranan JAWI sebagai agensi kerajaan yang berkhidmat untuk ummah dan masyarakat di Wilayah Persekutuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mohd Na’im turut menegaskan, komitmen JAWI dalam menjadi peneraju pengurusan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan, termasuk pengurusan jenazah, sejak penubuhannya.
Sehubungan katanya, orang ramai yang memerlukan bantuan atau maklumat lanjut mengenai perkhidmatan tersebut boleh menghubungi JAWI di talian 03-2274 9333 atau e-mel ke [email protected] atau melayari saluran media sosial JAWI. – MalaysiaGazette