Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Puspakom, Mahmood Razak Bahman, Ketua Setiausaha MOT, Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam dalam Op Gempur di Puspakom Wangsa Maju hari ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan pemeriksaan mengejut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bermula hari ini bagi memastikan kenderaan yang menjalani pemeriksaan menepati piawaian ditetapkan.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, seramai 350 anggotanya dikerahkan dalam Op Gempur Puspakom yang berlangsung sejak jam 9.30 pagi ini.

“Kita akan melaksanakan operasi ini berterusan secara berfasa tanpa pengetahuan Puspakom seperti yang diarahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

“Fasa pertama adalah sekatan jalan raya yang dilakukan JPJ di lebuh raya terpilih manakala fasa kedua, merupakan pemeriksaan secara mengejut di Puspakom seperti kami lakukan hari ini.

“Untuk fasa ketiga, kita akan bekerjasama dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk syarikat pengeluar dan fasa keempat pula serbuan di kedai aksesori,” katanya dalam sidang media di Puspakom Wangsa Maju, hari ini.

Turut hadir dalam operasi adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Puspakom, Mahmood Razak Bahman; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.

Menurut Muhammad Kifli, antara kesalahan dikesan dalam operasi itu adalah kebanyakan pemandu lori menggunakan tayar celup dalam keadaan usang yang berpotensi pecah pada bila-bila masa.

“Kita telah memeriksa 115 buah lori dan daripadanya 29 lori dikenakan tindakan penguatkuasaan manakala sebanyak 69 lori lagi dikeluarkan notis.

“Kami juga telah menyita lima kereta dan dua lori, menjadikan jumlah keseluruhan tujuh kenderaan dirampas dalam hanya dua jam 30 minit operasi

“Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan telah memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom untuk membuat penambahbaikan segera dalam hal ini kerana kebanyakan tayar ini mudah pecah dan jika tidak ditangani, ia boleh mengakibatkan kemalangan,”ujarnya.

Pada masa sama katanya, penyelia dan kakitangan Puspakom Wangsa Maju akan dipanggil ke Ibu Pejabat JPJ jam 10 pagi esok bagi soal siasat berhubung penemuan sebuah kenderaan yang berada dalam keadaan tidak selamat.

“Saya sudah maklumkan kepada Ketua Pegawai Puspakom minta hantar mereka yang meluluskan kenderaan itu untuk kami lakukan temu siasat.

“Susulan itu, kita telah membuka satu kertas siasatan dan kemas kini akan diberikan apabila maklumat lanjut diterima,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast