Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Munim berucap semasa program Kejohanan Rentap Pandan Madani 2024 Kompleks Muhibah Taman Nirwana. Foto MUHAIMIN MARWAN, 29 DISEMBER 2024

AMPANG – Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap isu tahanan rumah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan satu mesej jelas negara ini mempunyai hukum dan aturan undang-undang.

Itu diperjelaskan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim ekoran kenyataan AGC mengenai permohonan tahanan rumah perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan baru-baru ini.

“Mungkin ini satu mesej yang jelas  ingin ditunjukkan bahawa negara ini ada hukum dan ada aturan undang-undang, ada institusi atau saluran bagi memutuskan sebarang hal termasuklah berkaitan hal pengampunan ini.

“Ia seperti mana disebut di Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa hal ini sedang dibicarakan di mahkamah, mungkin Jabatan Peguam Negara (AGC) ingin menyatakan sekali lagi bahawa prosedur permohonan pengampunan harus dilaksanakan mengikut aturan ditetapkan.

“Keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai,” katanya pada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Rentap Pandan Madani 2024 di sini malam tadi.

Terdahulu dalam kenyataan AGC, Najib perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.

Jabatan Peguam Negara juga memaklumkan, keputusan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong itu akan dibuat berdasarkan tatacara dan saluran yang sudah ditetapkan mengikut undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.

Berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September tahun sama.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, menjadikan beliau bakal bebas pada 23 Ogos 2028.

Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Dalam permohonan yang difailkan pada April lalu, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri; Ketua Pengarah Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Perdana Menteri itu juga memohon perintah, jika titah adendum itu wujud maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Permohonan tahanan di rumah perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast