LANGKAWI – Seorang kru bot maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua buah motosikal di Jalan Ayer Hangat di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 11.18 malam itu, mangsa, Muhammad Zulhairi Suid, 25, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dilaporkan maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang dalam perjalanan dari arah Kuah menuju ke Ayer Hangat dikatakan cuba memotong motosikal ditunggangi seorang lelaki berusia 58 tahun di laluan sama.
“Bagaimanapun masing-masing mereka bergesel dan impak daripada tersebut menyebabkan mangsa tercampak ke tengah jalan manakala seorang lagi penunggang terbabas ke bahu jalan sebelah kiri.
“Muhammad Zulhairi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tukang rumah yang menunggang motosikal jenis Honda ii dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha untuk rawatan lanjut susulan mengalami kecederaan pada dahi serta tangan kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Shariman, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette