Tan Kok Guan mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan yang dibacakan terhadapnya di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang lelaki cacat penglihatan mata mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan sengaja mencederakan mata kiri untuk mendapatkan tuntutan insurans bernilai RM1 juta pada Jun 2023.

Tertuduh, Tan Kok Guan, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.

Mengikut pertuduhan bapa kepada tiga cahaya mata itu didakwa melakukan satu permohonan tuntutan insurans kemalangan disyaki palsu iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan pada mata kiri untuk mendapatkan pampasan berjumlah RM1 juta.

Pengganggur itu didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 9 pagi hingga 6 petang pada 8 Jun 2023 di Kampung Gajah di sini.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin.

Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan  tertuduh didakwa telah memperdayakan sebuah syarikat insurans dengan membuat tuntutan insurans yang disyaki palsu apabila mendorong syarikat tersebut memasukkan wang tunai RM4,153.57 ke dalam akaun Maybank milik tertuduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 9 pagi hingga 6 petang di Kampung Paya di sini, pada 20 Julai 2023.

Bagi kedua-dua kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreena Zainurin menawarkan jaminan RM16,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun peguam, Yaw Xinying yang mewakili tertuduh dalam mitigasi rayuan meminta jaminan minima atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja selain berharap pendapatan isteri untuk menyara mereka lima sekeluarga.

“Anak guam saya merupakan OKU iaitu buta pada mata kiri, menghidap penyakit jantung dan strok selain memberi kerjasama sepanjang pihak polis menjalankan siasatan,” katanya.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 20 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here