KUALA LUMPUR – Malaysia kini dilihat sebagai rakan strategik yang dihormati serta menerima pengiktirafan daripada pemimpin negara kuasa besar atas peranan negara dalam memperjuangkan isu-isu global, kata Perdana Menteri.
Tambah Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia terutama dalam mendokong keadilan buat rakyat Palestin serta memperjuang tatanan dunia yang lebih adil dan seimbang.
“Alhamdulillah, rangkaian lawatan rasmi ke luar negara serta kunjungan pembesar dunia ke Malaysia sepanjang tahun ini telah memperkukuh hubungan dengan negara-negara sahabat, melonjak pelaburan dan eskport negara serta menjulang negara di persada dunia,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Anwar menambah, Malaysia juga bersedia menggalas tanggungjawab merintis kebangkitan ASEAN menjelang 2025 sekali gus membawa rantau ini ke era baharu yang lebih terangkum dan mampan.
Jelas beliau, dengan sokongan padu masyarakat antarabangsa, Malaysia akan melangkah ke tahun hadapan dengan penuh keyakinan untuk memacu kemakmuran bersama. – MalaysiaGazette