SABAK BERNAM – Seorang wanita berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) mental yang dilaporkan hilang sejak jam 5 pagi tadi ditemukan sudah tidak bernyawa di kawasan semak di Kilometer 35-36 Jalan Klang-Teluk Intan, di sini, hari ini.
Mayat Ruzina Mohd Razali, 48, ditemukan anggota polis dari Balai Sabak Bernam dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri bersebelahan parit jalan berkenaan jam 9.15 pagi semasa melakukan rondaan.
Penemuan itu disahkan Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Khalid Mohamad yang memberitahu, hasil siasatan membawa kepada penemuan dua buah beg mengandungi baju dan selipar getah di sebelah mayat mangsa.
“Hasil pemeriksaan tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan luka yang boleh dikaitkan dengan kemalangan jalan raya atau jenayah.
“Pemeriksaan juga menemukan barang-barang berharga termasuk gelang emas dan dompet di dalam beg pakaian dan ia membuktikan tiada sebarang unsur jenayah terhadap kematian mangsa,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Terdahulu, mangsa dilaporkan menghilangkan diri dari kediamannya di daerah ini, sejak jam 5 pagi dan ia disedari suami mangsa yang kemudiannya menghubungi anak lelakinya untuk membuat carian awal di sekitar Taman Air Manis dan kawasan pekan Sabak.
“Bagaimanapun mangsa ditemukan selepas setengah jam anak lelakinya membuat laporan kehilangan mangsa di Balai Polis Sabak Bernam,” katanya.
Khalid berkata, temu bual ringkas dengan suami mangsa berusia 81 tahun mendapati isterinya adalah pesakit OKU mental yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Wanita itu mempunyai rawatan berkala dengan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam di mana pengambilan ubat dipantau sendiri oleh suaminya.
“Mangsa sebelum ini menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung di Perak namun tidak mempunyai waris atau saudara-mara di sana,” katanya.
Tambah beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat wanita itu mendapati, punca kematian disebabkan serangan jantung.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – MalaysiaGazette