Datuk Ngwe Hee Sem.

MELAKA – Melaka mencatatkan dua kematian akibat wabak denggi sepanjang tahun ini, menurut Exco Kesihatan, Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.

Menurutnya, sebanyak 1,972 kes denggi dicatatkan membabitkan 1,241 kes di daerah Melaka Tengah, diikuti Alor Gajah (214) dan 517 kes di Jasin untuk tempoh 1 Januari hingga 16 November lalu.

“Sehingga kini, tiada rawatan spesifik bagi penyakit demam denggi, kecuali rawatan bersifat merawat gejala atau symptomatic dan merawat komplikasi penyakit sahaja.

“Setakat ini, fasiliti hospital kerajaan adalah mencukupi bagi merawat pesakit demam denggi yang memerlukan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zulkiflee Mohd Zin (BN-Taboh Naning) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hee Sem (BN-Machap Jaya) berkata, kerajaan negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sentiasa mempergiatkan lagi usaha pencegahan menerusi beberapa aktiviti sebagai langkah menangani wabak itu daripada berleluasa.

“Ini termasuklah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Denggi peringkat negeri dengan menjalankan mesyuarat jawatankuasa wabak secara berkala selain memperkasakan lagi Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI).

“Kekerapan mesyuarat pengurusan wabak denggi di peringkat daerah juga dilaksanakan bagi setiap wabak yang dilaporkan untuk membincangkan faktor penyebab, isu dan tindakan yang perlu diambil oleh semua agensi yang berkaitan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast