KUALA LUMPUR – Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF) melahirkan kebimbangan susulan cadangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mahu menaikkan tarif elektrik di negara ini.
MISIF dalam kenyataan memaklumkan, keputusan tersebut dibuat walaupun terdapat banyak seruan daripada industri untuk menetapkan harga elektrik yang lebih kompetitif memandangkan cabaran besar yang dihadapi sektor itu serta usaha berterusan mengurangkan jejak karbon.
Katanya, industri besi dan keluli telah menghadapi kerugian besar yang berjumlah berbilion ringgit dalam tempoh tiga tahun lalu.
“Kerugian ini disebabkan oleh kemasukan barangan import murah, kenaikan kos bahan mentah, peraturan alam sekitar yang ketat serta kesan berpanjangan daripada kenaikan mendadak tarif elektrik dan gas asli yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.
“Proses pembuatan dan penggulungan keluli memerlukan tenaga yang tinggi dengan sehingga 650 kWh elektrik diperlukan untuk menghasilkan satu tan keluli.
“Seiring dengan usaha industri untuk mengurangkan jejak karbon, elektrik akan memainkan peranan penting dalam peralihan kepada amalan pembuatan keluli yang lebih lestari sejajar dengan sasaran Malaysia untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050,” katanya.
Menurut MISIF lagi, peralihan dijangka meningkatkan permintaan elektrik negara secara signifikan.
Jelasnya, sebarang kenaikan tarif elektrik yang lebih tinggi akan memberi tekanan tambahan ke atas industri di mana kos tenaga merupakan perbelanjaan kedua terbesar selepas bahan mentah.
Kenaikan harga elektrik yang lebih tinggi akan menjejaskan daya saing pengeluar tempatan, meningkatkan kos pengeluaran yang akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna.
“MISIF dengan tegas menggesa kerajaan untuk mengamalkan ketelusan yang lebih besar dalam menyenaraikan dan memberi justifikasi terhadap komponen yang menentukan tarif asas elektrik untuk mengelakkan manfaat berlebihan kepada pembekal utiliti tunggal.
“Selain daripada tarif asas elektrik, MISIF juga meminta penjelasan mengenai mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT). Walaupun MISIF mengakui bahawa mekanisme ICPT disemak setiap enam bulan dan dipengaruhi terutamanya oleh perubahan kos penjanaan yang berkait dengan harga tenaga namun selepas meneliti data di laman web Suruhanjaya Tenaga (ST), MISIF mendapati terdapat percanggahan antara harga arang batu yang terpakai yang diterbitkan oleh ST dan pelarasan ICPT yang dicerminkan dalam caj surcaj baru-baru ini,” katanya.
Pengurangan caj ICPT tidak menunjukkan penurunan yang seiring dengan penurunan harga gas asli dan arang batu yang diterbitkan oleh ST.
“Adalah penting agar pelarasan ICPT mencerminkan tren harga gas asli dan arang batu yang sebenar untuk memastikan ketelusan, keadilan, dan konsistensi dengan piawaian peraturan sambil melindungi kepentingan semua pihak berkepentingan.
“MISIF tetap komited untuk menyokong matlamat pengurangan karbon Malaysia. Namun industri memerlukan pendekatan yang lebih beransur-ansur dan seimbang kerana teknologi yang diperlukan untuk menggantikan proses yang mencemarkan karbon, seperti pembuatan keluli berasaskan hidrogen, masih dalam peringkat awal pembangunan dan masih terlalu mahal,” katanya.
Tambah kenyataan itu, sehingga teknologi ini menjadi komersial, kebolehmampuan tenaga akan terus menjadi faktor kritikal dalam kemampuan industri untuk berinovasi, melabur dan beralih kepada amalan yang lebih lestari.
MISIF katanya turut menghargai penglibatan pihak berkepentingan yang relevan dalam dialog yang membina bersama industri besi dan keluli untuk memastikan bahawa struktur tarif elektrik masa depan mencapai keseimbangan yang adil antara objektif tenaga negara dan keperluan industri.
“Pendekatan kerjasama ini bukan sahaja akan mengukuhkan ketahanan ekonomi Malaysia tetapi juga meletakkan industri besi dan keluli sebagai peneraju global dalam pengeluaran keluli yang Lestari,” katanya. – MalaysiaGazette