KUALA LUMPUR – Seorang pakar psikiatri menyangkal dakwaan hukuman sebat syariah di khalayak ramai yang dilaksanakan terhadap seorang pesalah khalwat berulang di Terengganu boleh memberi impak psikologi serta tidak berkesan dalam mengubah perilaku individu.
Menurut Dr. Rozanizam Zakaria yang juga Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, perlu ditegaskan dalam Islam, prinsip public canning bukan dengan maksud untuk memalukan tetapi bertujuan mendidik masyarakat.
Bahkan, ujar Pengerusi Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Pahang itu, ia juga merupakan prinsip yang diterima sejagat iaitu mendidik dalam mencegah.
Berhubung impak psikologi kepada pesalah, jelas Dr. Rozanizam, perlu disedari dalam dunia undang-undang sekali pun, konsep public shaming bukan perkara baharu.
“Sebagai contoh, penyenaraian pesalah pedofilia dalam daftar umum yang dilakukan oleh undang-undang banyak negara juga adalah termasuk dalam prinsip ini.
“Adakah kita juga ingin membangkitkan hujah ‘maruah pesalah’ dan ‘impak psikologi kepada pesalah’ dalam hal ini?
“Bagaimana pula dengan hujah impak psikologi kepada mangsa? Sudah tentu lebih banyak dapatan saintifik yang turut akan menyokong hujah ini pula,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook hari ini.
Catatan beliau itu merujuk kepada artikel yang disiarkan sebuah portal berita yang memetik pandangan seorang kaunselor dan seorang ahli psikologi klinikal bukan Muslim yang antara lain merumuskan hukuman sebat di khalayak tidak berkesan dalam merubah perilaku pesalah.
Pada Jumaat lalu, seorang pesalah khalwat berulang, Mohd Affendi Awang, 42, disebat sebanyak enam kali di hadapan kira-kira 90 individu di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.
Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail pada 20 November lalu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Sementara itu, Dr. Rozanizam bekata, pihak yang memberi komentar mengenai hukuman sebat di khalayak seharusnya sedar bahawa Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan Hukuman Sebatan Di Luar Penjara bagi pesalah syariah itu sendiri telah disediakan Jabatan Penjara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ia bukan prosedur spontan yang berjalan secara sambil lewa tanpa mengikut prosedur yang telah diperhalusi pakar bidang masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette