Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Kerajaan sewajarnya memikirkan semula nasib sebahagian penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu di sini yang sepatutnya mendapat pampasan lebih wajar berbanding apa diterima mereka ketika ini, kata bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan membuat perbandingan dengan kes melibatkan bayaran pampasan kepada penduduk Taman Desa di sini yang terkesan selepas sebahagian tanah mereka digunakan untuk pembinaan jalan.

Jelasnya, terdapat penduduk di Taman Desa yang menerima pampasan sehingga RM941.53 untuk setiap kaki persegi kediaman mereka iaitu dua kali ganda berbanding yang dinilaikan bagi tanah di Kampung Sungai Baru.

Sedangkan, ujar beliau, tanah Kampung Sungai Baru yang terletak lebih hampir dengan pusat bandar seperti KLCC yang sepatutnya leih bernilai berbanding tanah di Taman Desa hanya dinilai separuh iaitu kira-kira RM450 sekaki persegi.

“Kemungkinan besar telah berlaku kesilapan atau campur tangan golongan berkepentingan semasa pernilaian dibuat. Kalau tidak tak mungkin pernilaiannya serendah itu.

“Antara kesilapan adalah hujah “harga masa depan” yang pernah dikemukakan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Khalid yakin Kerajaan Madani yang berpaksikan prinsip keadilan dan keprihatinan inginkan pampasan yang adil diberikan kepada semua pemilik di Kampung Sungai Baru.

Ujarnya, kes Taman Desa adalah bukti jelas tuntutan pemilik untuk pampasan sebanyak RM950 sekaki persegi adalah adil, wajar dan munasabah serta berdasarkan pernilaian semasa, bukannya `harga masa depan’.

Menurutnya, permintaan pemilik Kampung Sunga Baru adalah sangat munasabah memandangkan ada penilai swasta yang meletakkan nilai tanah mereka setinggi RM 1,500 – 2,000 sekaki persegi.

“Sekiranya pampasan yang adil dan wajar diberikan, sudah pasti tidak akan ada lagi mana-mana pihak yang akan merungut dan mendakwa mereka dizalimi.

“Ini akan menghalang pihak-pihak yang berkepentingan mengambil kesempatan untuk mengeruhkan hubungan kerajaan dengan rakyat sebagaimana kesempatan yang diambil oleh mereka dalam kes pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

“Dalam kes ini akan ada yang mendakwa kerajaan memberi pampasan yang baik dan adil kepada bukan Melayu tetapi dengan orang Melayu, pampasan diberi adalah sangat rendah dan tidak adil,” katanya.

Dalam masa sama, tambah Khalid, pemaju juga seharusnya tidak keberatan untuk membayar kadar pampasan yang adil dan munasabah kerana berdasarkan laporan media, pembangunan Kampung Sungai Baru akan menghasilkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.64 billion.

Sudah pasti, katanya, pemaju akan mendapat keuntungan berlipat kali ganda dan pembayaran pampasan yang adil oleh pemaju akan menaikkan imej mereka sebagai pemaju yang adil yang ingin menghayati dasar shared prosperity secara telus dan ikhlas, bukannya pemaju zalim yang suka menindas pemilik.

“Bagi pihak penduduk Kampung Sungai Bharu, saya sebagai Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan sekali lagi merayu kepada pihak kerajaan, khususnya Perdana Menteri, agar pampasan yang adil diberikan kepada mereka dan kita menyelesaikan isu mereka dengan baik di bawah Kerajaan Madani ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here