Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja sebuah syarikat pembersihan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang kanak-kanak berusia lapan tahun pada pagi sambutan perayaan Krismas lalu.

Muhammad Ikmal Mansor, 29, didakwa membuka zip seluarnya di hadapan mangsa kira-kira pukul 11.30 pagi, 25 Disember lalu di tepi tangga tingkat dua, sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di sini.

Tertuduh dan kanak-kanak perempuan itu menetap di perumahan yang sama namum berlainan blok dan mereka saling tidak mengenali antara satu sama lain.

Muhammad Ikmal didakwa mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Atiqa Nazihah Azmi berkata pihaknya tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Ujar beliau, sekiranya mahkamah mahu mengguna pakai budi bicara untuk menawarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pihak pendakwaan turut memohon syarat jaminan tambahan dikenakan agar tertuduh melapor diri di polis berhampiran sebulan sekali selain dilarang mendekati mangsa dan keluarganya yang tinggal berdekatan.

Sementara itu, peguam Mohamad Zaidi Othman yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh akan berkahwin pada Februari tahun depan manakala ibunya menghidap kanser payu dara dan baharu sahaja menjalani pembedahan.

Hakim Mohd. Kafli Che Ali membenarkan pengangkut sampah itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat jaminan tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan kes disebut pada 13 Februari tahun depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast