Sekretariat Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah

KUALA LUMPUR – Sekretariat Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun kerana menimbulkan kekeliruan awam.

Sekretariat yang dianggotai sekumpulan mahasiswa dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata, penolakan penganjuran perhimpunan aman hanya kerana tiada permit bertentangan dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

“Datuk Jauteh Dikun dilihat naif dalam mendalami undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan dan pesanan Ketua Polis Negara pada 4 Mac 2024 iaitu perhimpunan aman tidak perlu permit, mungkin polis tersilap cakap.

“Kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah ini tidak berperlembagaan. Kami menasihati Pesuruhjaya Polis Sabah untuk melakukan semakan fakta terlebih dahulu dan lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan kepada pengamal media.

“Pihak sekretariat akan membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang (saman) terhadap Pesuruhjaya Polis Sabah kerana telah menimbulkan kekeliruan kepada awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan polis menolak penganjuran perhimpunan Gempur Rasuah Sabah yang dijadual diadakan di hadapan Menara Kinabalu di sini esok, bagi menjaga ketenteraman awam di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah berkata, Kerajaan Negeri Sabah bakal menganjurkan program Karnival Ria di tempat serta hari sama esok dan program itu telah mendapat kebenaran penganjuran daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Jauteh berkata, polis tidak mahu berlaku pertembungan antara dua program ini yang boleh menimbulkan suasana tidak tenteram dan tidak aman terutama kepada pengunjung Karnival Ria antaranya wanita, kanak-kanak dan warga emas.

Sementara itu, sekretariat itu konsisten dengan pendiriannya untuk meneruskan perhimpunan aman itu selaras dengan Perkara (10) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan dan hak rakyat Malaysia untuk berhimpun.

“Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah akan tetap berjalan seperti yang dirancang dan kami di pihak sekretariat menyeru puluhan ribu rakyat Sabah untuk turun bersama.

“Sayangi Sabah, Tolak Rasuah” Sekretariat Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah,” kata sekretariat itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here