KUANTAN – Seorang penolong pegawai perubatan meninggal dunia manakala tujuh lagi cedera dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kilometer 37, Jalan Kuantan-Segamat dekat sini malam tadi.
Dalam kenyataannya, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, dalam kejadian pukul 8.15 malam itu membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda Hr-V dengan kereta jenis Perodua Myvi.
Ketika kejadian, SUV dinaiki empat sekeluarga itu dari arah Kuantan menghala ke Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, SUV dipandu lelaki berusia 50 tahun itu hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta Perodua Myvi,” katanya.
Akibat kemalangan tersebut, penumpang hadapan Perodua Myvi iaitu seorang wanita yang juga Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Temai, Pekan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Suami mangsa serta dua anak perempuan berusia 12 dan dua tahun dilaporkan mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan lanjut.
Manakala pemandu SUV, isterinya serta dua anak lelaki masing-masing berusia 17 dan 12 tahun turut mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, kata Mohd Zaidi. – MalaysiaGazette