KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,019 tuntutan bernilai RM3.9 juta telah diluluskan sehingga November lalu membuktikan keberkesanan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dalam melindungi kebajikan suri rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sosial Suri Rumah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kasthuri Patto bagaimanapun berkata, jumlah pencarum SKSSR itu hanyalah 16.5 peratus daripada jumlah keseluruhan suri rumah di Malaysia.
Menurut beliau, Selangor mencatatkan angka tertinggi jumlah pendaftaran pencarum SKSSR secara sukarela setakat Disember tahun ini berjumlah 13,546 orang.
Kasthuri berkata, Sabah pula mencatatkan angka tertinggi melalui inisiatif kerajaan iaitu berjumlah 88,034 orang setakat 15 Disember lalu.
“PERKESO mencatat kejayaan besar dengan mencapai sasaran 100 peratus pendaftaran 500,000 suri rumah sebagai pencarum SKSSR.
“Seramai 512,518 wanita telah mendaftar yang melibatkan jumlah caruman keseluruhan sebanyak RM61.5 juta sehingga 15 Disember,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, SKSSR memberi perlindungan kepada wanita termasuk ibu tunggal, wanita bujang atau mereka yang bekerja tetapi turut memikul tanggungjawab suri rumah hanya dengan caruman RM120 setahun.
Jelasnya, manfaat merangkumi faedah perlindungan keilatan, kemudahan dialisis, pencen penakat dan faedah pengurusan mayat.
“Skim yang diluluskan pada Disember 2022 ini merupakan usaha bersama PERKESO dan Kementerian Sumber Manusia di bawah Kerajaan Madani yang diterajui Steven Sim.
“Ia bermula hasil idea Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 2018,” ujarnya.
Sementara itu, kerajaan turut memperkenalkan kad baucar bernilai RM120 yang boleh dijadikan hadiah selain pengecualian cukai bagi syarikat yang mencarum untuk pekerja wanita dari golongan B40.
Jelasnya, beberapa syarikat telah mengambil inisiatif menaja caruman yang memberi manfaat kepada mereka yang kurang berkemampuan.
Menurut Kasthuri, lebih 4,000 sesi libat urus dianjurkan bersama pelbagai pihak, termasuk syarikat swasta dan badan bukan kerajaan dalam usaha memperluaskan kesedaran.
Tambahnya, buku panduan SKSSR kini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Tamil, Mandarin, Iban dan Kadazandusun untuk capaian yang lebih meluas.
“Suri rumah adalah wira tanpa nama yang perlu diberi pengiktirafan atas sumbangan mereka kepada keluarga dan masyarakat.
“Suri rumah bukan sekadar tulang belakang keluarga, malah penyumbang penting dalam membina komuniti Madani yang kukuh dan sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette