RayyanIman-2105

TAIPING – Peniaga pisang goreng hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping atas kesalahan melakukan khianat menggunakan api dengan membakar sebuah motosikal di Pokok Assam pada Khamis lalu.

Tertuduh, Zainatul Rafeda Zainul Abidin, 43, turut menyatakan rasa menyesal di atas perbuatannya selepas kertas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita terbabit didakwa melakukan khianat dengan api, dengan pengetahuan akan menyebabkan kerosakan harta iaitu sebuah motosikal jenis Honda RSX warna hitam dengan nombor pendaftaran VJQ 4323 bernilai RM7,000 milik Zainatul Shakira Amira Zaini, 22.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Masjid, Pokok Assam, di sini sekitar pukul 3.50 petang pada 26 Disember lalu.

Berikutan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Wei Jun.

Muhammad Fahmi menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan supaya tidak mengganggu dan menghubungi mangsa yang juga pengadu sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, Wei Jun yang mewakili tertuduh memohon supaya wang jaminan dikurangkan memandangkan wanita itu hanya memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan menerusi perniagaan pisang goreng dan apam balik.

Katanya, tertuduh juga perlu menjaga suami yang mengalami strok sebelah badan dan menyara empat orang anak.

Tambahnya, tertuduh juga bersedia mengikuti syarat tambahan yang ditawarkan pihak pendakwaan.

Nabiha kemudiannya menetapkan jumlah jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan serta menetapkan 14 Januari depan bagi untuk fakta kes dan jatuh hukuman.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang wanita susulan satu video tular yang memaparkan seorang wanita membakar motosikal di Jalan Masjid, Pokok Assam, di sini, petang Khamis lalu.

Video berkenaan memaparkan wanita terbabit bertindak mencurahkan cecair dipercayai petrol sebelum membakarnya.

Difahamkan, bayaran bulanan motosikal berkenaan tertunggak selama lebih 20 bulan dan motosikal itu dibeli atas nama anaknya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis tahan wanita bakar motosikal, elak kena tarik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here