Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang merekodkan 73 peratus pencapaian tahun ini selepas berjaya menyiapkan 359 projek.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri kini mempunyai tempoh lima tahun lagi untuk merealisasikan Visi Penang2030, yang digagaskan bagi melahirkan sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Katanya, peranan Pulau Pinang sebagai salah satu negeri penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara khususnya dalam industri pembuatan serta sektor perkhidmatan sememangnya satu prestasi yang amat membangggakan.

“Bukan sekadar Visi Penang2030, Strategi Pembangunan Ekosistem Ekonomi Negeri Pulau Pinang (Penang SEED) telah dilancarkan pada tahun 2023 sebagai pelan kesinambungan visi tersebut.

“Namun tidak dapat dinafikan, kerancakan ekonomi dalam negeri memerlukan pentadbiran ini bekerja dengan lebih gigih bagi memantapkan infrastruktur dan sistem pengangkutan awam yang efisien untuk memastikan kelancaran mobiliti, meningkatkan kualiti hidup serta penyuraian kesesakan lalu lintas.

“Sehingga hari ini, sebanyak 73 peratus pencapaian telah direkodkan dengan 359 projek berjaya disiapkan, sembilan sedang berlangsung manakala lima lagi sedia dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kata Kon Yeow,  memenuhi keperluan ini, kerajaan negeri telah merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengoptimumkan infrastruktur dan pengangkutan awam terutamanya projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara yang kini berada pada peringkat rundingan.

 “Serentak itu, Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan telah dimulakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada pertengahan tahun ini juga merupakan langkah strategik untuk menjadikan PIA sebagai salah satu lapangan terbang yang mempunyai ketersambungan dengan volum penerbangan tertinggi dalam negara, malah tidak mustahil di Asia.

“Dalam sektor perindustrian, negeri ini berjaya mencatatkan rekod pelaburan memberangsangkan bagi tahun ini yang mana pelaburan diluluskan sebanyak RM22.6 bilion direkodkan sehingga suku ketiga tahun ini melalui sektor pembuatan yang menyumbang RM12.1 bilion dan RM10.4 bilion daripada sektor perkhidmatan.

“Angka berkaitan mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi negeri ini dengan 364 projek yang dicatatkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan dianggarkan sebanyak 14,042 peluang pekerjaan baru dapat diwujudkan untuk rakyat negeri ini khasnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here