KUANTAN – Gelagat Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bercemar duli berangkat memancing ikan di Kolam Memancing Kampung Seberang Balok, di sini, semalam mencuri perhatian orang ramai.
Aksi melempar joran dan detik baginda sekeluarga meluangkan masa hampir tiga jam memancing di kolam berkenaan dikongsikan di Facebook rasmi Kesultanan Pahang hari ini.
”Menariknya, baginda sendiri berjaya memancing dua ekor ikan iaitu ikan siakap putih dan ikan siakap merah manakala Tengku Panglima Perang (Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah) turut berjaya menaikkan seekor ikan kerapu.
”Baginda berdua turut meluangkan masa menyantuni para pengunjung di situ termasuk menyampaikan kurnia kepada kanak-kanak sebaik sahaja selesai memancing,” katanya. – MalaysiaGazette