KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyatakan solidariti kepada gerakan mahasiswa di Sabah yang akan turun berhimpun secara aman dalam Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah yang akan diadakan hari ini.
Dalam satu kenyataan semalam, Jawatankuasa Pemandu BERSIH mengingatkan semua pihak bahawa hak berhimpun dan bersuara dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10.
Sehubungan itu, semua rakyat berhak menyatakan kegusaran dan tuntutan mereka secara aman dan berdasarkan lunas undang-undang dan prinsip hak asasi manusia.
“Himpunan yang digerakkan mahasiswa di Sabah ini menjadi bukti bahawa rakyat sentiasa mengawasi setiap gerak geri kerajaan dan inginkan kerajaan yang bebas rasuah,” demikian menurut kenyataan itu.
Tambahnya, BERSIH juga mengambil maklum bahawa akan dianjurkan perhimpunan balas terhadap Perhimpunan Aman Gempur Rasuah tersebut.
Jelasnya, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhimpunan Aman memberi hak untuk sebarang perhimpunan dilaksanakan termasuk perhimpunan balas, namun ia perlu berlangsung di tempat lain supaya tidak berlaku pertembungan mahupun cetusan kepada perkara yang tidak diingini.
“Semua pihak harus bersikap sivil dan menghormati hak bersuara masing-masing,” katanya.
Sebelum ini, sekumpulan mahasiswa yang menggelarkan mereka sebagai Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) merancang mengadakan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah hari ini dengan sasaran penyertaan seramai 10,000 orang.
Menurut sektariat gerakan itu, perhimpunan tersebut akan bermula pukul 2 petang dengan peserta berhimpun di hadapan pintu masuk UMS dan Mini Putrajaya sebelum berarak ke Menara Kinabalu.
Bagaimanapun, media semalam melaporkan polis menolak penganjuran itu bagi menjaga ketenteraman awam di negeri tersebut, selain UMS turut menafikan penglibatan mahasiswa mereka dalam gerakan berkenaan. – MalaysiaGazette