KUALA LUMPUR – Hukuman sebat bagi kes khalwat bukan termasuk dalam kategori hudud, tetapi ta’zir iaitu hukuman yang ditentukan oleh pihak berkuasa berdasarkan ijtihad dan kebijaksanaan mereka selaras dengan maqasid syariah.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil menjelaskan, hukuman ini bertujuan untuk mendidik pesalah, bukan untuk menyakiti atau mencederakan mereka.
Pelaksanaan hukuman ini mematuhi prosedur operasi standard yang jelas dan teratur dengan beberapa garis panduan utama yang ditekankan iaitu pemilihan tempat pelaksanaan yang sesuai, pemeriksaan kesihatan pesalah untuk memastikan mereka mampu menjalani hukuman, dan kehadiran khalayak yang terkawal, dengan jumlah hadirin tidak melebihi 70 orang bagi menjaga sensitiviti dan maruah pesalah.
Katanya, hukuman itu hanya dilaksanakan oleh pegawai yang terlatih menggunakan rotan khas yang tidak mencederakan pesalah dengan menggunakan rotan sesuai.
Oleh itu, semua pihak perlu menghormati bidang kuasa negeri dalam menjalankan hukuman syariah.
“Hukuman syariah harus dilihat sebagai mekanisme yang mendukung nilai-nilai keadilan dan keharmonian, bukan sekadar pelaksanaan hukum semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Susulan hukuman yang dijalankan, IKIM mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan untuk memperkukuhkan pelaksanaan hukuman ini, antaranya melaksanakan program pemulihan holistik, yang mana pesalah akan menyertai program bimbingan rohani, kaunseling intensif, dan latihan kemahiran sebagai sebahagian daripada proses pemulihan.
Ia turut mensyorkan kefahaman masyarakat ditingkatkan melalui kempen kesedaran dan forum terbuka untuk memastikan masyarakat memahami matlamat sebenar hukuman syariah serta menyeragamkan pelaksanaan hukuman dan garis panduan hukuman tersebut di seluruh negara.
“Sebagai langkah susulan, IKIM akan mengadakan perbincangan tertutup dengan pakar undang-undang dan wakil pihak berkepentingan untuk memastikan pelaksanaan hukuman sebat syariah dilakukan secara adil dan efektif.
“IKIM juga menyeru masyarakat agar memahami isu ini secara matang dan bijaksana. Tujuan hukuman ini bukan untuk memalukan pesalah, tetapi untuk mendidik mereka serta mengekalkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia,” tambahnya lagi.
“IKIM menyeru semua pihak memahami isu ini dengan matang dan berhikmah. Tujuan perlaksanaan hukuman ini untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada pesalah dan masyarakat.
“Sebarang tindakan atau kenyataan yang bolej mencetuskan salah faham atau ketegangan perlu dielakkan demi menjaga keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia,” ujar beliau. – MalaysiaGazette