PUCHONG – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Puchong Utama 3 hari ini telah menjayakan Karnival Usahawan Cilik Generasi Madani PTPTN.
Menurut Pengerusi PTPN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim karnival berkenaan merupakan komitmen PTPTN dalam menyahut seruan kerajaan berkonsepkan Malaysia Madani yang menekankan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
“Selari dengan objektif penubuhan Kelab Simpanan Pendidikan, karnival ini diharap dapat mempromosikan Simpan SSPN sebagai satu wadah penabungan melalui aktiviti keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Majlis Penutupan Rasmi Karnival Usahawan Cilik Generasi Madani PTPTN di sini semalam.
Turut hadir, YBhg. Datuk Wan Hashim bin Wan Rahim, Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, YBrs. Ts. Zulkernai bin Fauzi, Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional KPM, Encik Ahmad Haridan bin Hj. Mohammed, Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM dan YBrs. Encik Roslan Shaarip, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Puchong Utama 3.
Terdahulu, Karnival Usahawan Cilik Generasi Madani PTPTN telah disertai oleh murid-murid dan guru-guru sekolah rendah di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Seramai 100 orang usahawan cilik yang terdiri daripada murid-murid di 20 buah sekolah yang berdaftar dengan Kelab Simpanan Pendidikan iaitu sekolah dari Pejabat Pendidikan Petaling Perdana, Pejabat Pendidikan Petaling Utama serta Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah membuka gerai jualan.
Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan seperti Pertandingan Mewarna, Pertandingan Menyusun Puzzle dan Pertandingan Karaoke.
Selain itu, PTPTN juga membuka kaunter promosi Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai cendermata menarik bagi pembukaan akaun baharu atau penambahan deposit sepanjang karnival.
Dalam pada itu, Norliza menyeru supaya sekolah-sekolah seluruh dapat merebut peluang mendaftarkan diri dengan Kelab Simpanan Pendidikan dan menikmati pelbagai kelebihan yang disediakan.
“Antaranya ia dapat menjadi Sahabat PTPTN, menikmati Insentif Kelab Simpanan Pendidikan berjumlah RM1,000 secara one-off, tajaan sudut info sebanyak RM250 dan berpeluang menyertai Pertandingan Menabung Peringkat Sekolah dan Peringkat Nasional anjuran PTPTN,” tambahnya.
Pada majlis yang sama, PTPTN turut menyampaikan sumbangan RM153,300 kepada ahli Kelab Simpanan Pendidikan di seluruh negara melalui Program Tabung Impian Kasih Simpan SSPN.
Sumbangan itu melibatkan 1,533 orang murid dengan setiap seorang akan menerima RM100 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.
“Melalui program ini, PTPTN memberikan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime kepada murid yang masih aktif sebagai ahli Kelab Simpanan Pendidikan pada tahun 2024,” katanya lagi.- MalaysiaGazette