SEOUL – Mahkamah Daerah Barat Seoul telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol atas tuduhan pemberontakan dan penyalahgunaan kuasa.
Keputusan itu dibuat atas permintaan Markas Penyiasatan Bersama yang terdiri daripada pejabat rasuah, polis dan Kementerian Pertahanan.
Ia merupakkan kali pertama dalam sejarah di mana Korea Selatan mengeluarkan waran tangkap terhadap presiden yang masih memegang jawatan.
Namun masih belum jelas bila pihak berkuasa akan melaksanakan waran itu memandangkan perancangan perlu dilakukan bersama Pasukan Keselamatan Presiden.
Mahkamah Perlembagaan kini sedang mempertimbangkan keputusan mengesahkan pemberhentian Yoon tetapi ini dijangka mengambil masa sehingga enam bulan, selepas itu Yoon akan sama ada dipecat secara rasmi atau dipulihkan sebagai presiden.
Peguam Yoon, Yun Gap-geun menyifatkan waran tangkap sebagai tidak sah dan melanggar undang-undang dengan alasan bahawa pihak berkuasa penyiasatan tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat presiden dalam kes pemberontakan.
Sementara itu, ketua parti Yoon, Kwon Sung-Dong turut mengkritik keputusan mahkamah dan menyifatkannya sebagai tidak wajar.
Presiden Yoon berdepan tuduhan serius selepas mengisytiharkan darurat ketenteraan pada 3 Disember lalu yang mencetuskan krisis politik terbesar dalam sejarah negara itu sejak beberapa dekad.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati.
Beliau bagaimanapun mempertahankan tindakannya, menyatakan bahawa pengisytiharan darurat ketenteraan itu sah dan perlu untuk mengatasi ancaman “kuasa anti-negara” serta tindakan obstruksi daripada pihak pembangkang. – Agensi