Maysaa Sabrine . Foto: Laman Sosial X

DAMSYIK – Maysaa Sabrine telah mencatat sejarah sebagai wanita pertama yang mengetuai Bank Pusat Syria sejak penubuhannya lebih 70 tahun lalu.

Pelantikan beliau diumumkan oleh pegawai kanan Syria selepas perubahan pentadbiran di negara tersebut.

Sabrine yang sebelum ini merupakan timbalan gabenor bank pusat memiliki pengalaman lebih 15 tahun dalam sektor perbankan.

Beliau telah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Bursa Saham Damsyik sejak tahun 2018 sebagai wakil bank pusat serta pernah memegang jawatan Ketua Bahagian Kawalan Pejabat di bank tersebut.

Maysaa menggantikan Mohammed Issam Hazime yang dilantik sebagai gabenor pada 2021 oleh bekas Presiden Bashar al-Assad.

Selepas pengambilalihan oleh pemberontak, Bank Pusat Syria telah mengambil langkah untuk meliberalisasikan ekonomi yang sebelum ini dikawal ketat oleh negara.

Langkah tersebut termasuk membatalkan keperluan pra-kelulusan untuk import dan eksport serta mengurangkan kawalan terhadap penggunaan mata wang asing.

Namun Syria dan Bank Pusat masih menghadapi sekatan berat dari Amerika Syarikat dan kuasa Barat lain.

Bank itu juga telah menilai semula aset negara selepas kejatuhan al-Assad dan insiden kecurian sementara yang menyaksikan mata wang Syria dicuri namun peti simpanan utama tidak dipecah masuk.

Menurut sumber, peti simpanan itu masih menyimpan hampir 26 tan emas, jumlah yang sama sejak perang saudara bermula pada 2011. Namun, rizab mata wang asing telah merosot dari kira-kira $18 bilion sebelum perang kepada sekitar $200 juta.

Pelantikan Maysaa menjadikannya wanita kedua yang dilantik dalam pentadbiran baharu Syria yang diketuai oleh pemimpin de facto Ahmad al-Sharaa.

Awal bulan ini, Aisha al-Dibs dilantik sebagai ketua Pejabat Hal Ehwal Wanita di bawah kerajaan sementara Syria. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here