Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengajak seluruh rakyat Malaysia melangkah ke tahun baharu 2025 dengan azam untuk menjadi rakyat yang lebih baik, bertanggungjawab dan sayangkan negara.

Dalam masa sama, beliau menyeru seluruh rakyat berpegang kepada nilai-nilai murni, berprinsip, hormat antara satu sama lain serta patuh kepada undang-undang dan Perlembagaan negara.

Jelasnya, menjadi kelaziman setiap tahun baharu untuk setiap individu memulakannya dengan azam dan semangat memperbaiki diri serta berusaha mencapai yang lebih baik dari tahun sebelumnya.

“Ia menjadi blueprint atau pedoman untuk adakan matlamat tahun tersebut dan tumpu usaha untuk mencapai matlamat yang digaris.

“Yang penting gigih berusaha. Bekal diri kita dengan ilmu pengetahuan dan tingkatkan kecekapan. Jangan mengalah,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau, hari ini.

Tambah Dr. Mahathir, beliau akan menginjak ke usia 100 tahun pada pertengahan tahun hadapan dan sekiranya dilanjutkan usia, ia merupakan satu perjalanan yang panjang dan penuh dengan dugaan.

“Alhamdulillah, setakat ini saya dikurniakan kesihatan yang agak baik, masih boleh berdiri, berjalan dan berfikir dengan waras.

“Satu abad adalah jangka masa yang lama. Di usia ini, saya bernasib baik dapat bersama dalam mengharungi detik-detik penting di dalam sejarah negara.

“Kita dijajah, diserang dan ditakluk, diserah kepada negara asing, dijajah semula, berjuang untuk mencapai kemerdekaan, merdeka, berperang dan berusaha untuk membangun,” katanya.

Tambah Dr. Mahathir, bermula dari zaman remaja sehingga ke hari ini, beliau berpeluang berjuang dan bekerja untuk kesejahteraan negara.

Sepanjang tempoh itu, jelasnya, beliau melihat apa yang menjayakan negara ialah jati diri dan semangat juang rakyat, yang mempunyai harga diri serta yang tidak sanggup menggadai tanah dan maruah bangsa untuk apa sekali pun.

“Apakah kita masih lagi ada semangat serta nilai-nilai murni seperti mereka yang terdahulu dari kita, yang telah berjuang untuk negara agar kita dapat menikmati segala yang kita ada pada hari ini.

“Selamat Tahun Baru 2025. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here