KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 134,718 notis atas pelbagai kesalahan motosikal dalam tempoh dua bulan sejak pelaksanaanya pada 1 November lalu.
Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Perancangan & Operasi), Datuk Jazmanie Shafawi berkata, kesalahan tertinggi yang direkodkan adalah ketiadaan lesen memandu iaitu sebanyak 38,754 notis diikuti tiada Lesen Kenderaan Motor (28,897), tiada insurans (26,095), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (7,852), lesen memandu tamat tempoh (2,842), pemandu atau penunggang warga asing yang diambil tindakan (2,750) dan memandu bawah umur (319).
“Kami turut menyita 3,668 motosikal di atas pelbagai kesalahan dan seramai 66 orang daripada 561 penunggang yang diperiksa disahkan positif dadah.
“Selain itu, terdapat juga 319 notis dikeluarkan bagi kesalahan memandu di bawah umur sepanjang operasi ini dijalankan.
“Tindakan di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh dikenakan terhadap pemilik yang membenarkan kenderaannya dipandu oleh seseorang tanpa lesen memandu yang sah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Operasi Khas Motosikal 2024 di Plaza Tol Awan Besar (arah utara), malam tadi.
Menurut Jazmanie, JPJ tidak akan berkompromi kepada ibu bapa atau penjaga yang membenarkan remaja bawah umur memandu kenderaan tanpa lesen yang sah.
“Tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 39, Akta Pengangkutan Jalan 1987 di mana inidividu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
“Ibu bapa perlu memastikan anak-anak menggunakan kenderaan dengan kaedah yang betul, mempunyai lesen memandu dan cukai jalan sah serta perlindungan insurans. Pergerakan anak-anak juga perlu dipantau supaya mereka tidak menunggang motosikal tanpa lesen dan cukai jalan,” tambahnya.
JPJ turut menasihati pengguna jalan raya sepaya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas bagi meminimumkan kemalangan yang melibatkan motosikal. – MalaysiaGazette