GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan meneruskan pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam (AIDAP) tahun depan bagi mengelak kekurangan sumber itu di kawasan Air Itam, Farlim serta kawasan sekitarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K. Pathmanathan berkata, walaupun laporan cuaca antarabangsa tidak meramalkan fenomena El Nino panas dan kering pada tahun depan, pihaknya perlu bertindak secara berhati-hati bagi mengelak kekurangan air.
Jelas beliau, tiga protokol utama AIDAP akan terus dilaksana kepada pengguna air di kawasan perkhidmatan Empangan Air Itam iaitu dengan mengehadkan pelepasan sebanyak 22 juta liter sehari (JLH).
“Air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua Seberang Perai juga akan dipam sehingga 33 JLH ke kawasan perkhidmatan Empangan Air Itam.
“Pengeluaran air terawat di LRA Air Itam akan dioptimumkan terutama kepada ketersediaan air mentah daripada dua sumber air lain iaitu muka sauk utama dan muka sauk tat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Pathmanathan, sebagai persediaan menjelang tahun 2025, senario di kawasan perkhidmatan Empangan Teluk Bahang iaitu Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjong Bungah, Tanjong Tokong dan kawasan sekitarnya juga kurang memberangsangkan.
“Kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang semalam ialah sebanyak 61.7 peratus namun begitu ia adalah empangan yang besar, daripada segi jumlah sebenar, kapasiti efektifnya ialah 18,240 ML atau 844.8 peratus lebih daripada 2,159 ML Empangan Air Itam.
“Malangnya, walaupun PBAPP mungkin melaksanakan AIDAP bagi menyokong Empangan Air Itam, kami mungkin tidak mengepam air terawat dari Seberang Perai ke kawasan perkhidmatan Empangan Teluk Bahang,” katanya. – MalaysiaGazette