KUALA LUMPUR – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan arak tidak bercukai dengan penahanan dua lelaki dalam dua serbuan berasingan di Taman Daya, Johor Bahru pada Ahad lalu.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, menerusi Op Taring Landai, sejumlah besar arak tidak bercukai kastam dianggarkan bernilai lebih RM200,000 dirampas.
“Op Taring Landai bersama unit ronda Marin berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 26 tahun dan seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun.
“Antara barangan yang dirampas termasuklah pelbagai jenama arak seperti Skol, Heineken, Tiger, Royal Stout, Carlsberg, Guinness, Chang Classic, dan Blanc 1664 dalam pelbagai saiz tin dan botol.
“Kesemua sampel arak akan dihantar ke Jabatan Kastam dan Jabatan Kimia untuk penilaian lanjut,” jelasnya.
Menurut beiiau, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan lesen perniagaan premis yang sah dari pihak berkuasa tempatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Sekyen 3(1) Undang-undang kecil pelesenan tred, perniagaan dan perindustrian serta per. 39(b) peraturan-peraturan 1963.-MalaysiaGazette