KUALA LUMPUR – Isu berkaitan lif di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang akan diberi perhatian yang serius oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Tindakan segera dilakukan oleh DBKL bagi memastikan lif kembali beroperasi terutamanya di blok D.
DBKL menerusi kenyataan memaklumkan proses penggantian lif di PA Desa Rejang telah bermula secara berperingkat oleh kontraktor yang dilantik.
PA Desa Rejang itu mempunyai 38 unit lif dengan18 daripadanya sedang dalam proses penggantian manakala bagi baki 20 unit lif yang sepatutnya beroperasi, hanya 14 unit lif sahaja yang boleh beroperasi setakat ini.
“Ekoran kejadian lif overshoot yang berlaku baru-baru ini, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah membuat pemeriksaan di tapak pada 18 Disember lepas dan mengarahkan dua unit lif di Blok D ditutup dan satu unit lif dalam pelaksanaan penggantian.
“Situasi itu menyebabkan Blok D tidak mempunyai lif untuk kegunaan penduduk sehingga ke tarikh ini,” menurut kenyataan yang sama.
DBKL memaklumkan pada 19 Disembar lalu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif telah ke lokasi kejadian bagi meninjau serta bertemu dengan penduduk yang terkesan seterusnya berusaha untuk mempercepatkan proses pemeriksaan untuk kelulusan lif tersebut.
LIHAT: MGNews: Kami Sengsara! Biar Satu Malaysia Tahu Masalah Ini, Kami Sudah Muak Dengan Janji!
Berdasarkan pertemuan Datuk Bandar bersama Pengarah JKKP semalam, kontraktor terlibat didapati telah menghantar permohonan bagi pemeriksaan satu unit lif di Blok D kepada JKKP dan akan melakukan pre-inspection oleh Orang Yang Kompeten (Competent Person).
“Pihak JKKP dijangka membuat pemeriksaan untuk kelulusan Permit Mesin Angkut (PMA) ke atas satu unit lif di Blok D dalam minggu ini setelah pre-inspection dilaksanakan dan tertakluk kepada kelulusan Permit To Install (PTI).
“DBKL ingin menegaskan bahawa keselamatan penduduk adalah keutamaan kami. Oleh itu, DBKL akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi jadual kerja yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: