KUALA LUMPUR – Rakyat diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan janji-janji atau tipu helah pihak kerajaan terutamanya berkaitan data ekonomi sebaliknya perlu berusaha sendiri untuk mencapai kehidupan yang lebih baik.
Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mengajak semua rakyat untuk bersama-sama membina suasana masyarakat yang harmoni dan hangat, memperluaskan ruang inovasi yang inklusif dan aktif serta mencipta keadaan hidup yang selesa dan mudah.
“Saya sentiasa percaya bahawa kerja politik tidak seharusnya sekadar retorik atau menjual harapan kosong.
“Untuk memastikan Malaysia terus maju dengan stabil, kerajaan mesti melaksanakan dasar-dasar yang berorientasikan rakyat dan bukan menyalahgunakan kuasa untuk menekan lawan politik.
“Kita semua sedang menunggu Pakatan Harapan menunaikan janji-janji mereka, termasuk reformasi institusi, pengiktirafan UEC, penghapusan tol lebuh raya, penurunan harga barangan, dan peningkatan dan penambahan royalti petroleum untuk Terengganu, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam perutusan tahun baharu 2025 hari ini.
Dijangkakan, tahun 2025 juga akan menjadi tahun yang penuh dengan cabaran, kata Dominic.
“Sebelum detik tahun baru tiba, kita sudah mendengar banyak berita yang tidak menguntungkan rakyat, antaranya penyelarasan cukai pintu di banyak negeri, kenaikan kadar parkir di Pulau Pinang, perubahan sistem bayaran feri Pulau Pinang-Seberang Perai daripada satu hala kepada dua hala dan rancangan kerajaan untuk memansuhkan subsidi bahan api pada separuh kedua tahun ini.
“Kita perlu bersedia menghadapi gelombang kenaikan kos hidup yang akan dating,” katanya.
Tahun ini, langkah Gerakan utuh tanpa melupakan matlamat asal dalam masyarakat berbilang kaum dan budaya seperti Malaysia, rakyat tidak boleh melihat sesuatu dengan kaca mata perkauman.
“Kita mesti mempertahankan dan menghargai ciri-ciri unik budaya pelbagai kaum di negara ini, dengan mengetepikan perbezaan dan menjaga keunikan tersebut.
“Matlamat kami sangat sederhana, iaitu terus memantau prestasi kerajaan kerana tujuan akhir kami adalah memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik. Kos isi rumah, pembangunan ekonomi, pendidikan anak-anak, peluang pekerjaan untuk golongan muda, serta penjagaan kesihatan dan kebajikan warga emas adalah isu keluarga dan juga isu negara.
“Kami percaya bahawa dengan bersama-sama mendesak kerajaan dan berusaha secara kolektif, kita pasti dapat mencapai aspirasi Malaysia yang kita impikan,” katanya.
Dominic berharap tahun 2025 ini, tidak kira sebesar mana cabaran dan rintangan di hadapan, kita semua mesti terus teguh menghadapinya.
“Semoga tahun 2025 membawa masa depan yang lebih cerah untuk kita semua dan negara tercinta,” ujarnya.- MalaysiaGazette