Seorang lelaki khusuk berdoa. Gambar hiasan

Oleh: Dr Rozaini Othman & Zaiton Din

PERNAHKAH sebelum kita menutup mata untuk tidur, kita sempat bermonolog serta memikirkan tentang perbuatan kita sepanjang hari tersebut? “Apakah tindakan buruk yang telah aku lakukan hari ini? Apakah pula kebaikan yang aku berjaya laksanakan hari ini? Siapakah orang yang aku telah sakiti hari ini?”.

Pertanyaan sebegini adalah sebahagian daripada cara untuk kita bermuhasabah terhadap segala perkara yang kita lakukan setiap hari. Refleksi kendiri seperti ini merupakan penilaian dan semakan terhadap diri sendiri sama ada sikap, pengucapan dan gerak kerja yang dilakukan adalah selari dengan ajaran yang disyariatkan atau sebaliknya.

Jika sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan sama ada secara sedar atau tidak sedar, sengaja atau tidak sengaja, kita perlulah menginsafi
diri, bertaubat dan cuba melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Manakala, jika perbuatan tersebut memenuhi tuntutan agama dan
membawa kebaikan, ia perlu diteruskan dan ditambah baik agar beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Hasyr ayat 18 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan”.

Ayat ini menerangkan tentang keperluan untuk bermuhasabah agar kita dapat memelihara diri daripada perkara yang dimurkai Allah dan sentiasa menyedari kehadiran Allah dalam kehidupan. Keadaan ini boleh meningkatkan sifat ketakwaan dalam diri supaya memperoleh kejayaan di dunia dan di akhirat.

Tahun 2024 bakal melabuhkan tirai. Begitulah pantasnya putaran masa berlalu pergi. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi daripada Anas bin Malik RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berlaku Kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu sambaran api”.

Sebahagian ulamak berpandangan maksud masa berlalu dengan pantas adalah disebabkan hilang keberkatan masa. Dalam sehari dia melakukan sesuatu yang bermanfaat, kadarnya sama seperti satu jam sahaja dia melakukan perkara tersebut. Oleh yang demikian, masyarakat perlu memastikan setiap detik masa dipenuhi dengan
amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT serta perkara yang mendatangkan faedah dan kebaikan buat diri, keluarga dan ummah.

Pelbagai peristiwa telah berlaku di negara kita sepanjang tahun 2024. Adakalanya peristiwa tersebut berlaku atas ketentuan tuhan yang manusia tidak mampu hindari seperti banjir besar yang telah melanda negeri-negeri tertentu. Sudah tentu ujian ini mengandungi hikmah dan pengajaran untuk menguji tahap keimanan dan kesabaran insan. Takdir tuhan mengatasai segalanya.

Selain itu, turut berlaku perkara yang memberi kesan betapa sensitivitinya umat Islam dalam membela agama seperti penghinaan kalimah Allah yang dicetak pada stokin di sebuah pasaraya. Hal ini memberi isyarat bahawa masyarakat Islam masih mempunyai rasa sensitif yang tinggi jika kesucian agama Islam telah dinodai. Secara tidak langsung, kesatuan ummah boleh diukur apabila umat Islam bangkit mempertahankan kesucian agama ketika isu ini berlaku.

Manakala, di peringkat antarabangsa pula, isu berkaitan umat Islam Palestin yang masih diseksa dan dibunuh dengan kejam oleh rejim zionis Israel masih lagi berlaku. Penyelesaian yang tuntas diperlukan agar kekejaman ini dapat dihentikan dan rakyat Palestin boleh menikmati kehidupan aman damai serta Palestin menjadi negara yang bebas dan berdaulat.

Justeru, marilah kita bersama-sama berdoa agar apabila melangkah ke tahun baharu, Allah SWT mengurniakan rahmat, rezeki dan kesihatan diri. Negara kita pula akan sentiasa aman, makmur dan terus maju serta unggul di persada antarabangsa. Mulakan tahun baharu ini dengan semangat yang baharu bagi memperbaiki segala
perkara dan amalan untuk memperolehi al-falah ataupun kejayaan di dunia dan di akhirat.

Kedua-dua penulis adalah Pensyarah di Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here